Sewa kondominium jadi tempat bungkus serbuk jus dadah

Khaw Kok Chin (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
Khaw Kok Chin (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium sebagai tempat pembungkusan serbuk jus dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) terbongkar selepas diserbu polis, pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 33 tahun dalam serbuan pada jam 3.50 petang di sebuah kondominium di Sentul, di sini.

"Dua penganggur itu berperanan sebagai 'runner' dan pembungkus dadah, mereka menerima upah sebanyak RM3,000.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas dadah jenis MDMA seberat 213.4 kilogram yang bernilai RM33.65 juta," katanya pada sidang akhbar, di sini, pada Selasa.

Kok Chin berkata, modus operandi yang digunakan oleh sindiket itu adalah menyewa kondominium untuk dijadikan tempat membungkus dadah jenis jus MDMA sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

"Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini, satu peket dadah itu dijual dengan anggaran RM300 hingga RM600," ujarnya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Semakan rekod jenayah pula mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 10 rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 700,000 penagih dadah.

"Kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas, kita berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!