Rumah Perantaraan jadi pusat khidmat pemulihan penagih dadah - AADK

Sutekno (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis peluncuran perkhidmatan Rumah Perantaraan pada Isnin.
Sutekno (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis peluncuran perkhidmatan Rumah Perantaraan pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mewujudkan Rumah Perantaraan bagi penagih dadah untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela di Jalan Raja Alang dekat sini.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, ia adalah kerjasama Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam membantu mereka yang terjebak dengan penagihan dadah bagi mendapat pemulihan yang sewajarnya.

"Objektifnya adalah untuk menyediakan fasiliti yang mempunyai persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis peluncuran perkhidmatan Rumah Perantaraan pada Isnin.

Menurutnya, fasiliti itu, secara tidak langsung menyediakan pelbagai kemudahan dan akses program serta aktiviti yang mampu meningkatkan proses pemulihan dan pengekalan kepulihan klien (penagih dadah).

"Platform itu bersifat lebih terbuka khususnya kepada klien untuk mendapatkan input dan rujukan yang berupaya meningkatkan kualiti hidup dalam aspek pekerjaan dan tempat tinggal," ujarnya.

Sutekno berkata, sebanyak empat perkhidmatan utama ditawarkan menerusi kemudahan itu iaitu saringan, penilaian dan kemasukan klien, rujukan serta advokasi.

"Selain itu, program rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK) menggunakan Model i-Pulih AADK yang meliputi komponen biologi, psikologi, sosial dan spiritual serta menyediakan pemadaman minat dan kerjaya (SDS-AADK)," ujarnya.

Tambahnya, prosedur pelaksanaan untuk mendapatkan perkhidmatan itu adalah melalui kaedah kemasukan secara sukarela atau 'walk in'.

Artikel Berkaitan:

"Rujukan daripada mana-mana Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) melalui program hijrah atau daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan pintar dan rakan strategik AADK.

"Waktu operasi kemudahan itu pula adalah pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 8 malam bagi pendaftaran dan penerimaan klien manakala rujukan selepas waktu pejabat atau cuti umum perlu melalui Talian Hotlien Hello AADK ditalian 1-800-22-AADK (2235) atau WhatsApp di talian 019-626 2233," ujarnya.

Mengenai isu penagihan dadah di ibu negara, Sutekno berkata, terdapat 0.37 peratus daripada 100,000 penduduk atau 370 di ibu negara terbabit penyalahgunaan najis dadah.

"Pada tahun depan, kita menyasarkan angka itu tidak melebihi 0.4 peratus (400 orang bagi setiap 100,000 penduduk).

"Kita harap angka itu tidak meningkat dan itu yang kita fokuskan iaitu aspek pencegahan dan lebih ramai penagih dadah mendapatkan bantuan pemulihan," katanya.