Pengedar dadah tak serik, belajar proses dadah dalam penjara ditahan

Mohamed Usuf (dua dari kiri) melihat dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
Mohamed Usuf (dua dari kiri) melihat dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pengedar dadah tegar tidak serik apabila ditahan semula selepas lima bulan keluar dari penjara kerana kesalahan yang sama.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan di tapak parkir apartment yang didiaminya di Tanjung Tokong dekat sini pada 17 Februari lalu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan pada motosikal jenis Honda menjumpai 34 peket heroin seberat 820 gram dan 20 peket syabu seberat 570 gram.

"Susulan daripada itu, kita menyerbu rumah sewanya lalu menemui tiga peket heroin seberat 260 gram, dua peket syabu (30 gram), sebuah kotak mengandungi tiga plastik lut sinar berisi kafein seberat 19,300 gram.

"Di rumah yang sama, kita menemui peralatan dan perkakasan memproses dadah serta bahan kimia dipercayai untuk memproses dadah sebelum dijual kepada pelanggan tetapnya.

"Polis percaya, suspek menjadikan rumah sewanya itu sebagai makmal memproses dan membungkus dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Mohamed Usuf berkata, polis turut memeriksa sebuah lagi motosikal milik suspek dan menjumpai 25 peket heroin di kotak yang dipasang di belakang motosikal berkenaan.

Pegawai penyiasat (dua dari kiri) menerangkan mengenai rampasan kepada Mohamed Usuf ketika sidang akhbar pada Isnin.
Pegawai penyiasat (dua dari kiri) menerangkan mengenai rampasan kepada Mohamed Usuf ketika sidang akhbar pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut pada motosikal itu turut menjumpai 36 peket heroin di bahagian tempat menyimpan barang. Kesemua dadah tersebut tersebut bernilai RM125,000.

"Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta jenis Nissan Teana, dua motosikal jenis Honda PCX dan Honda EX5 serta wang tunai RM15,500. Nilai keseluruhan dadah serta sitaan adalah RM203,000," katanya.

Mengulas lanjut, suspek telah ditahan pada 2017 kerana kesalahan sama dan baharu dibebaskan pada September tahun lalu.

"Daripada soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku mempelajari memproses dan membungkus dadah daripada rakan 'senior' ketika di dalam penjara.

"Suspek bergerak sendirian dan menyewa apartment dengan kadar sewa RM1,300 sebulan itu sejak September tahun lalu sejurus dibebaskan dari penjara. Dia mula melakukan kegiatan lamanya sejak bulan Oktober 2023," katanya.

Mohamed Usuf menambah, suspek yang masih bujang mempunyai tiga rekod lampau berhubung kesalahan dadah.

"Ujian saringan air kencingnya negatif. Kesemua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.Sekiranya ia terlepas di pasaran, dadah berkenaan boleh digunakan oleh 65,000 penagih.

"Suspek yang tidak bekerja direman tujuh hari sehingga 24 Februari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28