Aset LRA SSP1 usia lebih 30 tahun diselenggara

Izham (kanan) melakukan lawatan kerja di LRA SSP1 di sini pada Isnin.
Izham (kanan) melakukan lawatan kerja di LRA SSP1 di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) berikutan peralatan itu telah digunakan sejak tahun 1990 lagi.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kerja-kerja utama membabitkan penggantian itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan impak lebih besar pada operasi LRA SSP 1 pada masa depan.

"Kebanyakan aset ini telah digunakan sejak lebih 30 tahun lalu dan memerlukan penggantian bagi mengelakkan ia mengalami kerosakan lebih teruk," katanya.

Izham memberitahu, dua komponen utama membabitkan penggantian itu iaitu injab butterfly bersaiz 1,450 milimeter (mm) dan injap Sluice bersaiz 1,350 mm.

"Selain itu, ia membabitkan penyelenggaraan switchgear 6.6kV dan 33kV di rumah pam air terawat LRA SSP1," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: LRA SSP1 diselenggara, pengguna terjejas diminta simpan bekalan air

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar semasa melawat LRA SSP1 di sini pada Isnin.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja penggantian aset membabitkan kos sebanyak RM500,000 itu juga telah tertangguh dua kali selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menjalankan pelaksanaan kerja pada suku pertama tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta tangguh dua kali disebabkan masa tidak sesuai kerana bertembung dengan musim perayaan dan program besar yang lain di negeri ini.

"Air Selangor telah membuat penelitian terperinci dan memutuskan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan bermula 5 Jun ini," tambah beliau.

Izham memberitahu, henti tugas LRA SSP1 tidak dapat dielakkan berikutan kekurangan rizab air di negeri ini bagi membekalkan air di kawasan terjejas.

Jelas beliau, LRA SSP1 membekalkan kira-kira 67 peratus bekalan air di tujuh wilayah di negeri ini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri menyediakan pelan jangka masa panjang dengan membina LRA Sungai Rasau bagi membekalkan air kepada penduduk sekiranya berlaku henti tugas di LRA utama.

"Kita dalam usaha menambah LRA dan jika rizab air kita banyak, ia lebih mudah untuk kita uruskan dan menangani jika berlaku henti tugas.

"Kita sedang mempercepatkan projek kita di LRA Rasau supaya rizab air margin lebih tinggi untuk memudahkan kita membuat penyelenggaraan dan kerja-kerja bila berlaku gangguan," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor juga dalam proses untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di LRA Rantau Panjang.

"Bagaimanapun LRA Semenyih membabitkan kerja penyelenggaraan lebih besar dan kita juga akan mendapatkan bantuan bekalan air daripada LRA Langat 2," jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan LRA SSP1 akan melalui proses selenggara dan penggantian aset bermula jam 9 pagi pada 5 Jun dan dijangka siap jam 7 malam pada hari sama.

Air Selangor memaklumkan, perlaksanaan kerja-kerja tersebut akan membabitkan pengguna di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!