Kemampuan peruncit diambil kira sebelum harga maksimum ditetapkan

Chong Chieng Jen -Foto Bernama
Chong Chieng Jen -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil kira kemampuan peruncit sebelum dapat mengambil langkah menurunkan lagi harga siling barangan yang tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen hari ini berkata, walaupun ada dalam kalangan peruncit yang dapat menawarkan barangan di bawah harga maksimum yang ditetapkan sejak skim itu dilaksanakan, masih ada sebahagian peruncit yang tidak mampu berbuat demikian berikutan beberapa faktor.

“Ada peruncit yang memperoleh diskaun lebih baik untuk harga bekalan daripada pembekal atau mampu membeli secara pukal bagi membolehkan mereka menawarkan barangan dengan lebih murah lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan SHMMP sempena Tahun Baru Cina di sebuah kompleks beli-belah di Batu Kawa di sini hari ini.

Beliau berkata, harga untuk barangan berkenaan dipengaruhi kuantiti bekalan yang ada dan faktor lokasi peruncit turut memberikan kesan kepada harga yang ditetapkan.

“Sebelum kita menetapkan harga-harga maksimum ini, kita turut berbincang dengan pelbagai pihak khususnya Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) supaya kita boleh mendapat jaminan bekalan adalah mencukupi. Tak guna kita tetapkan harga yang amat rendah tetapi tak ada bekalan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan untuk skim kali ini berbanding 13 jenis tahun lepas dan tempoh pelaksanaannya juga telah dipanjangkan kepada 14 hari bermula hari ini hingga 2 Februari berbanding 10 hari tahun lepas.

Beliau berkata, kementeriannya telah membahagikan pelaksanaan skim ini kepada sembilan zon dan penguat kuasa KPDNHEP akan turut dibantu pegawai pemantau harga (PPH) bagi memastikan rekod pematuhan baik peruncit di Sarawak terhadap skim ini berterusan.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, didapati peruncit di negeri ini secara umumnya mematuhi sepenuhnya pelaksanaan skim ini dan jika ada pun kesalahan yang dilakukan, hanyalah kerana gagal untuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: