Lelaki kritikal selepas bom ikan buatan sendiri meletup di dapur rumah

Keadaan dapur di sebuah rumah selepas bom ikan dihasilkan oleh seorang lelaki meletup.
Keadaan dapur di sebuah rumah selepas bom ikan dihasilkan oleh seorang lelaki meletup.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki cedera parah selepas bom buatan sendiri untuk menangkap ikan yang dipercayai sedang dihasilkannya meletup di dapur sebuah rumah di Kampung Keliangau, Manggatal di sini pada Jumaat. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa yang berumur 37 tahun cedera parah di bahagian kedua-dua tangan dan perut dalam kejadian pada 2.15 petang.

"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Menggatal sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal serta tidak sedarkan diri,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bersama-sama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan menemukan beberapa bahan disyaki digunakan untuk menghasilkan bom ikan buatan sendiri dan semuanya dirampas untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar letupan, sumber bahan serta kemungkinan pembabitan individu lain,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Shahrudin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memiliki atau mengendalikan bahan letupan tanpa kebenaran kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan boleh mengancam keselamatan. - Bernama 

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!