Sarawak sumbang RM100,000 kepada keluarga mangsa nahas helikopter FDS

KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak pada Jumaat menyumbangkan RM100,000 kepada setiap keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram di sini pada awal bulan lepas.
Selain itu, bantuan pendidikan menerusi Yayasan Sarawak turut disalurkan bagi meringankan beban keluarga mangsa, khususnya untuk memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak mereka.
Sumbangan itu disampaikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada lima waris mangsa pada majlis penyerahan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Jumaat.
"Kehilangan ahli keluarga tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, tetapi sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka, khususnya anak-anak mereka.
"Kita ada memberi surat tawaran kepada Yayasan Sarawak untuk membantu pembayaran yuran persekolahan anak mereka sehingga ke peringkat universiti,” kata Abang Johari kepada pemberita selepas majlis itu.
Pada 8 September lepas, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dan empat kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang.
Mereka yang terkorban ialah Alexson Adit Henry, Debra Moset, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Jessie Paya Jok dan Kapten Zainol Afiq Bee Sham. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
