Polis perlu tempoh lama siasat 5 ahli keluarga suspek - Saifuddin

Serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu mengorbankam dua anggota polis.
Serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu mengorbankam dua anggota polis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tempoh masa lebih lama diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan terhadap lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis, pada 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden berkenaan tidak boleh diambil mudah dan beberapa akta telah diguna pakai.

Tegas beliau, susulan insiden itu, Singapura turut mengambil langkah memperketatkan kawalan keselamatan pintu masuk republik berkenaan.

"Apapun ulasan yang kita hendak bagi, tindakan membunuh anggota keselamatan iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu merupakan perbuatan yang sangat serius.

"Kita ada beberapa akta, yang digunakan misalnya peringkat awal penahanan kanun keseksaan digunakan namun belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).

"Berdasarkan magnitud kes ini, tempoh yang lebih lama diperlukan polis untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Saifuddin diajukan soalan berhubung justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang tamat reman pada hari ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sebelum ini sememangnya menjurus kepada elemen radikal berdasarkan latar belakang keluarga.

Razarudin berkata, sebelum ini polis membebaskan dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tanpa syarat setelah mendapati mereka tidak mempunyai sebarang jaringan dan kaitan dengan mana-mana kumpulan berfahaman radikal.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi 17 Mei lepas, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota polis cedera.

Anggota polis yang maut ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah telah dibenarkan keluar dari hospital pada Isnin.

Pada 18 Mei, tujuh individu dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung serangan terbabit dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lima daripada mereka adalah anggota keluarga suspek berusia antara 19 dan 62 tahun yang ditahan sejak 17 Mei, manakala dua pelajar IPT yang hadir di balai polis itu sebelum kejadian yang turut direman, telah dibebaskan tanpa syarat pada Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!