[VIDEO] Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek ditahan semula bawah SOSMA

A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang tamat reman pada hari ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sebelum ini sememangnya menjurus kepada elemen radikal berdasarkan latar belakang keluarga.

"Siasatan mendapati keluarga suspek ini tidak bergaul dengan masyarakat sekeliling, dan berdasarkan data dan rekod memang bapa suspek merupakan Jemaah Islamiyah (JI).

"Setakat ini, seramai 47 saksi telah direkod keterangan berkaitan kes ini dan siasatan menjurus kepada elemen dan ideologi radikal berdasarkan penemuan beberapa batang paip dipercayai untuk membuat pistol angin di rumah suspek," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara di sini pada Jumaat.

Razarudin berkata, sebelum ini polis membebaskan dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tanpa syarat setelah mendapati mereka tidak mempunyai sebarang jaringan dan kaitan dengan mana-mana kumpulan berfahaman radikal.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lepas, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Anggota polis yang maut, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Sabtu lepas tujuh individu dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Lima daripada mereka adalah anggota keluarga suspek berusia antara 19 dan 62 tahun yang ditahan sejak Jumaat lepas, manakala dua pelajar IPT yang hadir di balai polis itu sebelum kejadian yang turut direman, telah dibebaskan tanpa syarat, Selasa lepas.

No Image Caption

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!