Syor wujudkan pasukan pemantau pastikan pokok ditanam semula

Foto hiasan. Gambar kecil: Lee Lam Thye
Foto hiasan. Gambar kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) disyorkan mewujudkan satu pasukan untuk memantau dan memastikan pokok berbahaya yang terpaksa ditebang digantikan semula sebagaimana diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pasukan itu juga perlu dianggotai oleh pakar pokok atau arboris yang arif tentang jenis pokok sesuai untuk ditanam mengikut kawasan.

"Selepas berlakunya berberapa insiden pokok tumbang, saya lihat banyak PBT bukan sahaja di Kuala Lumpur malahan di Pulau Pinang dan Selangor ambil tindakan tebang pokok yang berbahaya.

"Akan tetapi di banyak jalan pokok yang telah ditebang berkenaan, ia hanya tinggal akar atau tunggul. Saya tidak nampak pokok-pokok baharu ditanam sepertimana arahan Perdana Menteri supaya 100 pokok perlu diganti bagi setiap satu pohon yang ditebang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Anwar pada 15 Mei lalu mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh untuk menanam semula 100 pokok baharu bagi menggantikan satu pohon yang ditebang.

"Saya telah memberi arahan kepada Datuk Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula," kata Anwar menerusi satu hantaran di Aplikasi X.

Lam Thye menegaskan, pokok-pokok pengganti perlu ditanam segera untuk mengawal suhu panas ekoran perubahan iklim, mengawal pencemaran dan melindungi alam sekitar.

"Pokok bukan sahaja untuk menyejukkan suasana, ia juga boleh membekalkan oksigen yang diperlukan manusia kerana udara di kawasan bandar terutamanya seperti diketahui tercemar dengan karbon dioksida ekoran banyak kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini dilaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik kontraktor untuk kenal pasti pokok berisiko dan perlu ditebang. Kontroaktor tersebut turut diengkapi arboris.

"Jadi mungkin khidmat arboris berkenaan juga boleh digunakan oleh pasukan pemantau untuk pastikan kerja-kerja penanaman semula dapat dilakukan," cadang beliau lagi.

Katanya, PBT juga sepatutnya mewujudkan program penjagaan dan pengurusan pokok yang betul supaya tidak berlaku keadaan penebangan pokok yang bebas dan meluas yang boleh memberi ketidakseimbangan kepada alam sekitar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!