SPM 2023: Negeri Sembilan catat GPN 4.33

Roslan (lima dari kanan) menunjukkan keputusan SPM 2023 Negeri Sembilan pada Isnin.
Roslan (lima dari kanan) menunjukkan keputusan SPM 2023 Negeri Sembilan pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan rekod Gred Purata Negeri (GPN) 4.33 mata bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 4.60 mata.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, peningkatan ini merupakan peningkatan paling tinggi dalam tempoh 10 tahun sejak 2014.

"Berdasarkan pencapaian tersebut, seramai 631 daripada 14,158 calon di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang gred A, A dan A dalam semua mata pelajaran.

"Daripada jumlah itu, seramai 20 calon mendapat semua A berbanding tahun 2022 16 calon," katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Menurutnya, Gred Purata Sekolah(GPS) terbaik di Negeri Sembilan tahun ini dengan catatan GPS 1.25 mata adalah Kolej Tunku Kurshiah yang merupakan kategori Sekolah Berasrama Penuh.

Tambahnya, bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Datuk Abu Hassan Haji Sail, Rembau mencatatkan GPS 1.58 mata, meningkat 0.01 berbanding tahun lalu.

"Sekolah Menangah Agama Nilai telah mencatat GPS 1.91 mata bagi kategori sekolah agama bantuan kerajaan(SABK).

"Ini merupakan sejarah bagi SABK di negeri ini dengan peningkatan sebanyak 0.43 berbanding SPM 2022,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi kategori sekolah menengah harian, SMK King George V telah mencatatkan GPS 2.21 dengan peningkatan 0.16 mata berbanding tahun 2022.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pencapaian calon bandar meningkat 0.15 mata iaitu 4.31 mata pada tahun 2023 berbanding 4.46 mata pada tahun 2022.

"Begitu juga calon luar bandar yang meningkat 0.22 mata iaitu 4.47 mata berbanding 4.69 mata pada tahun 2022.

"Secara keseluruhannya berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran, sebanyak 39 daripada 95 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 13,008 calon (93.90 peratus) layak menerima sijil SPM pada tahun 2023 berbanding 13,215 calon (92.03 peratus) pada tahun 2022.

Ujarnya, 39 buah sekolah mencatat pencapaian 100 peratus layak mendapat sijil pada SPM kali ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!