Ku Nan jatuh dari kandang saksi, prosiding ditangguh

Tengku Adnan (dua dari kiri) mengalami kecederaan pada lutut kanan selepas terjatuh dari kandang saksi Jumaat lalu.
Tengku Adnan (dua dari kiri) mengalami kecederaan pada lutut kanan selepas terjatuh dari kandang saksi Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan bela diri kes rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguhkan kerana beliau mengalami kecederaan pada lutut kanan selepas terjatuh dari kandang saksi Jumaat lalu.

Tengku Adnan, 69, terjatuh ketika keluar dari kandang saksi sejurus selesai memberi keterangan bela diri, dalam prosiding kes rasuah berjumlah RM2 juta.

Tengku Adnan diberi cuti sakit selama enam hari mulai 17 Januari lalu dan perbicaraan itu ditangguh sehingga 18 Februari depan.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan berkata, anak guam saya mengalami kecederaan pada lutut kanan dan hasil pemeriksaan melalui CT Scan (Computed Tomography Scan) mendapati beliau tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Pihak kami memohon maaf di atas kesulitan dan meminta prosiding perbicaraan dilapangkan," katanya ketika memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Keterangan secara bersumpah di kandang saksi membabitkan Tengku Adnan sepatutnya disambung hari ini dan esok selepas Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu memerintahkannya membela diri atas pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim tidak membantah penangguhan perbicaraan kes itu.

Mahkamah turut menetapkan tarikh baharu iaitu 18 hingga 20 Februari, 4 dan 5 Mac serta 25 hingga 27 Mac ini untuk perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan atas tuduhan berkenaan.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.