Dua kejadian persenda agama, apa nak jadi?

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

BARU-baru ini, timbul kejadian yang mendapat perhatian masyarakat apabila seorang jejaka dipercayai asal Maghribi bernama Abdeen membacakan potongan ayat al-Quran di hadapan kuil dan video berkenaan dimuat naik di Tiktok serta dikecam hebat.

Terbaharu, muncul pula kisah seorang gadis yang dikenali sebagai Keknan melakukan konten dengan melangkah kubur meskipun sekadar tanah lapang bagi tujuan pemasaran filem pendek di Youtube.

Lebih membimbangkan, kedua-dua individu tersebut merupakan pempengaruh media sosial yang sering menyinggah di ‘For You Page’ atau singkatannya FYP TikTok pengguna di negara ini.

Persoalannya, apa nak jadi? Adakah masing-masing tidak mendapatkan nasihat atau berfikir terlebih dahulu sebelum memuat naik kandungan sebegitu?

Apa akan berlaku jika ia menjadi ikutan masyarakat terutamanya golongan Gen Z yang kononnya takut ketinggalan trend semasa?

Perkara berkenaan jelas menunjukkan kedua-duanya mempersendakan agama Islam dan Hindu.

Umum mengetahui bahawa Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya tetapi mengapa masih timbul insiden yang mampu menggugat keharmonian masyarakat?

Walaupun gadis dan jejaka tersebut sudah meminta maaf, adakah ia akan menyelesaikan masalah serta menuntaskan perbincangan warga maya?

Artikel Berkaitan:

Jawapannya tentu tidak kerana meskipun lama-kelamaan orang ramai akan memaafkan, mereka tidak mungkin melupakan jejak digital yang sudah tersebar luas itu.

Mana tidaknya, pelancong asing datang ke Malaysia dengan niat mahu menyebarkan kebaikan menerusi video mengaji, tetapi tidak kena cara kerana membacakan potongan ayat al-Quran di depan kuil Batu Caves.

Kemudian, warga tempatan membuat konten langkah kubur walaupun ia sekadar sesi penggambaran filem pendek.

Bagaimanapun, kes Abdeen sudah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, tindakan pelancong tersebut sangat tidak wajar kerana gagal memahami masyarakat berbilang budaya atau menghormati tapak keagamaan.

Apa pun, kita nantikan sahaja komen atau pandangan daripada golongan agamawan dan mufti berhubung isu langkah kubur yang sememangnya jelas dahagakan perhatian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!