Pelancong baca ayat al-Quran di Batu Caves mohon maaf

Tangkap layar hantaran video dimuatnaik Abdeen di Tiktok pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran video dimuatnaik Abdeen di Tiktok pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelancong asing yang tular kerana membaca potongan ayat al-Quran di hadapan kuil Hindu Batu Caves, Selangor memohon maaf di atas keterlanjurannya hingga mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini.

Pempengaruh yang menggunakan nama Abdeen itu berkata, dia tidak berniat mahu menyentuh sensitiviti mana-mana agama kerana menganggap Batu Caves sekadar lokasi bersejarah dan semua pelancong boleh merakam video bagi tujuan peribadi.

Menurut pelancong tersebut, pada mulanya dia tidak tahu-menahu bahawa Batu Caves merupakan pusat ibadat bagi agama Hindu.

“Saya tak tahu perkara ini boleh melukai hati ramai pihak terutamanya penganut agama Hindu dan saya minta maaf kerana buat semua kecewa.

“Ia bukan niat saya untuk buat orang ramai merasa sedih tentang bacaan ayat al-Quran yang saya lakukan di kebanyakan tempat.

“Tetapi, saya sedih kerana ramai yang menghantar mesej atau komen untuk mengugut padahal saya hanya mahu sebarkan kebaikan,” katanya menerusi hantaran video di Tiktok pada Sabtu.

Sebelum ini, video yang dimuat naik di TikTok menerusi akaun @abdeentube mendapat kecaman dan perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar serta ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Mohd Na'im memaklumkan, ia perbuatan yang sangat tidak wajar kerana gagal menghormati agama dan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tindakan tidak sensitif individu ini yang membaca Surah al-Anbiya’ ayat 66 dan 67 di tempat ibadat bukan Islam mampu mengganggu gugat keamanan serta keharmonian masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!