Pertimbang bantuan, subsidi terus kepada PKMS - Perdasama

Kerajaan diminta pertimbang bantuan dan subsidi terus kepada PKMS menerusi badan bertanggungjawab agar lebih ramai usahawan dapat teruskan perniagaan. Gambar kecil: Mohd Azamanizam
Kerajaan diminta pertimbang bantuan dan subsidi terus kepada PKMS menerusi badan bertanggungjawab agar lebih ramai usahawan dapat teruskan perniagaan. Gambar kecil: Mohd Azamanizam
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya mempertimbangkan pemberian bantuan dan subsidi terus kepada perusahaan sektor mikro, kecil dan sederhana (PKMS) menerusi badan yang bertanggungjawab agar lebih ramai usahawan dapat meneruskan perniagaan.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, penyaluran bantuan dan subsidi boleh diberi dalam bentuk pembiayaan modal atau pembangunan pusat IKS makanan yang sekali gus mampu merancakkan aktiviti perkilangan kecil di negara ini.

Menurut beliau, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di bawah Kementerian Ekonomi perlu memainkan peranan sebagai pelengkap dan pemudah cara dalam membantu peniaga bumiputera.

“Pada masa sama, skim bantuan atau geran wajar diteruskan khususnya kepada syarikat bumiputera yang mempunyai merit dan berkelayakan tinggi.

“Terutamanya untuk perniagaan bumiputera dalam sektor rantaian nilai tinggi, aktiviti ekonomi nilai tambah serta perniagaan berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Negara pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang berupaya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun.

Jelas Menteri Kewangan tersebut, penyasaran itu hanya akan melibatkan pengguna di semenanjung dan bertujuan mencegah ketirisan serta memastikan ia benar-benar sampai kepada kelompok sasaran.

Mohd Azamanizam memaklumkan, pihaknya menyokong sebarang langkah yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperbaiki urus tadbir dan tata kelola demi kebaikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ia termasuk dasar fiskal negara terkini melalui rangka kerja Ekonomi Madani bagi mencapai kemampanan dan menyasarkan defisit fiskal di bawah 3.5 peratus menjelang 2030 kelak.

“Perdasama memahami bahawa dalam aspek pengurusan mampan, kerajaan memerlukan dana yang besar bagi tujuan kebajikan rakyat dan pembangunan negara.

“Ia hanya boleh dicapai melalui urus tadbir kewangan negara yang cekap dan efisien termasuklah mengguna pakai kaedah pemotongan bantuan serta subsidi.

“Kami sedia membantu memperkasa PMKS melalui Akademi Keusahawanan Perdasama (AKeP) yang merupakan satu platform strategik menerusi penyediaan latihan, bimbingan dan pemantapan perniagaan bagi memacu agenda ‘The Greater’ Bumiputera,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!