'Kerajaan pastikan mekanisme pelaksanaan sesuai sebelum laksana subsidi bersasar'

Amir Hamzah. Foto fail Bernama
Amir Hamzah. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menjelang pelaksanaan subsidi bersasar termasuk bahan api, kerajaan akan memberi tumpuan untuk memastikan penyediaan mekanisme pelaksanaan yang sesuai, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan sedang memperhalusi mekanisme bagi memastikan apabila langkah itu dimulakan, ia adalah sesuai dan dinikmati kumpulan yang tepat, dan kerajaan menerima insentif penjimatan yang mencukupi daripada sistem ini apabila subsidi dihentikan.

"Rasionalisasi subsidi (bahan api) diperlukan memandangkan harganya amat berbeza di antara negara-negara. Kita mempunyai ketirisan. Kita tahu kita mempunyai ketirisan kerana insentifnya amat luas. Kita perlu mengubah insentif dalam negara ini supaya orang yang layak menerima subsidi, akan menerimanya.

"Tetapi, apa yang kita perlu lakukan adalah melaksanakan rasionalisasi subsidi. Mekanisme ini perlu sesuai. Saya berpandangan bahawa kerajaan kini berusaha memperhalusinya supaya apabila ia dilaksanakan, ia sampai ke sasaran yang betul. Rasionalisasi subsidi akan berlaku, tetapi kita tidak akan memulakannya jika aspek ini tidak dapat kita selesaikan,” katanya pada Forum C-Suite @EY baru-baru ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan menanggung subsidi diesel di Malaysia sebanyak RM1 bilion pada setiap bulan.

Beliau berkata, perbezaan harga pasaran telah mendorong penyeludupan ke negara jiran selama bertahun-tahun, dan membolehkan segmen besar sektor perdagangan meningkatkan keuntungan berikutan diesel murah, yang pada mulanya tidak layak diterima mereka.

"Kerugian akibat ketirisan berjumlah kira-kira RM4.5 juta sehari. Harus diingatkan bahawa subsidi menyeluruh tidak dapat dikekalkan dalam jangka panjang dan perlu digunakan sebagai alat untuk membantu golongan masyarakat yang mudah terjejas.

"Oleh itu, penambahbaikan mesti berlaku, dan Kementerian Kewangan bekerjasama erat dengan kementerian berkaitan untuk memperhalusi mekanisme itu bagi memastikan mereka yang layak menerima subsidi, akan menerimanya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung.

Beliau ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan bagaimanapun berkata, ia tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan bahan api itu digunakan untuk kenderaan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri berkenaan.

Anwar berkata, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan di Semenanjung, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial dengan bahan api itu.

Menurut Perdana Menteri, subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

'Kerajaan pastikan mekanisme pelaksanaan sesuai sebelum laksana subsidi bersasar' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Subsidi #BahanApi #Diesel #Mekanisme #Kerajaan #MenteriKewangan #AmirHamzah

The Epic - OlexandrMusic