Guna khidmat pengamal perubatan berdaftar

Penagihan dadah merupakan penyakit dan juga kesan psikologi yang memerlukan rawatan perubatan sewajarnya. Gambar kecil: Ahmad Lutfi.
Penagihan dadah merupakan penyakit dan juga kesan psikologi yang memerlukan rawatan perubatan sewajarnya. Gambar kecil: Ahmad Lutfi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa hanya membenarkan pengamal perubatan berdaftar terlibat dalam kaedah pemulihan penagih dadah menerusi pindaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang kini dalam proses pelaksanaan.

Presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Ahmad Lutfi Abdul Latiff berkata, langkah itu perlu kerana masalah penagihan dadah merupakan penyakit dan juga kesan psikologi yang memerlukan rawatan perubatan sewajarnya.

Menurutnya, ia juga mengambil kira terdapat isu pemulihan wajib kepada penagih dadah yang terbukti tidak berkesan.

“MASAC mengalu-alukan inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pembaharuan undang-undang dadah semasa Malaysia namun terdapat beberapa perbincangan yang perlu dilakukan.

“Sebagai contoh penempatan di pusat pemulihan hendaklah keputusan secara sukarela yang dibuat oleh pengguna dadah.

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

“Pakar perubatan dan kesihatan mental merentasi semua sektor harus bekerjasama dengan kerajaan untuk menawarkan kemahiran dan kepakaran mereka bagi memastikan Malaysia bersedia bagi dasar ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

KDN dilapor dalam fasa akhir menyeragamkan beberapa peruntukan membabitkan pindaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses terbabit memerlukan perbincangan lanjut antara KDN dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi pindaan tersebut, terdapat elemen dekriminalisasi dalam akta tersebut yang membenarkan mereka terbabit diberi peluang menjalani rawatan terutama membabitkan kes datang secara sukarela ke pusat pemulihan.Berbeza dengan amalan ketika ini yang memerlukan polis membuka kertas siasatan dan perlu melalui pertuduhan di mahkamah sehingga dijatuhkan hukuman termasuk penjara.

Sehubungan itu, Ahmad Lutfi menambah, selaku gabungan 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat pemulihan swasta dan penyedia perkhidmatan, pihaknya bersedia bekerjasama dengan NGO lain, pakar dan ahli akademik bagi menyokong kerajaan melaksanakan reformasi berkenaan.

“Pergantungan terhadap dadah memberi kesan kepada seluruh masyarakat, sebab itu tindak balas memerlukan pendekatan semua masyarakat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!