Hukuman penjara atau rawatan alternatif untuk pulihkan penagih dadah?

Dadah jenis sintetik bukan hanya mengganggu saraf manusia tetapi juga perilaku individu itu. - Gambar hiasan 123RF
Dadah jenis sintetik bukan hanya mengganggu saraf manusia tetapi juga perilaku individu itu. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MASALAH penagihan dadah bukan memerlukan hukuman berat dan penjara semata-mata untuk memulihkan mereka.

Penyelesaian secara rawatan atau kaunseling merupakan kaedah yang digunakan bagi mengurangkan masalah ketagihan.

Walau bagaimanpun, adakah ia mampu menjadi pelan jangka panjang bagi mengurangkan jumlah penagih dalam negara?

Hukuman penjara dilihat semakin mustahil untuk membantu mereka kerana masalah ketagihan berbeza-beza dan cara merawat mereka juga tidak sama.

Jika dahulu dadah daripada tumbuh-tumbuhan seperti ganja, kanabis dan opiat antara yang popular dalam kalangan penagih.

Keadaan dunia yang semakin canggih menyebabkan jenis dadah sintetik seperti amphetamine, methamphetamine, ecstasy, dimethyltryptamine, phencyclidine, meskalin, psilocybin dan psilocin serta ketamin turut berkembang.

Dadah jenis sintetik bukan hanya mengganggu saraf manusia tetapi juga perilaku individu itu.

Tahap agresif dan ketidakstabilan mental menyebabkan seseorang yang terjebak dengan kancah dadah mampu bertindak di luar kawalan termasuk membunuh serta berhalusinasi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menggesa kerajaan untuk meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 Pindaan 1998 dengan segera.

Presiden Pengasih, Ramli Abd Samad berkata, akta tersebut tidak lagi sesuai dan tidak relevan mengikut keadaan semasa.

Ujar beliau, kini jenis dadah yang digunakan dan latar belakang pengguna sudah berbeza.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan meminda kesalahan penyalahgunaan dadah daripada dikenakan hukuman penjara ditukar kepada program rawatan dan pemulihan dadah.

Beliau berkata, ia bagi memastikan perundangan membabitkan kesalahan berkenaan terus relevan dalam usaha kerajaan untuk melakukan reformasi penjara dan pusat tahanan.

Mereka yang terlibat dengan isu penagihan dadah tidak boleh dilakukan seperti banduan, sebaliknya memerlukan rawatan secara klinikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kaunseling dan pemulihan daripada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) membantu, namun rawatan kesihatan kepada bekas penagih merupakan pelan jangka panjang bagi mengelakkan diri daripada kembali semula kepada kancah dadah.

Penjara boleh menjadi tempat untuk mendapatkan hukuman dan pengajaran, namun penagih perlu diasingkan daripada orang ramai bagi memulihkan masalah tersebut dengan baik.

Hal ini kerana, selain terasing dari dunia luar, mereka mampu memberi perhatian sepenuhnya untuk pulih dengan aktiviti kerohanian, klinikal dan jasmani.

Pengambilan dadah berulang kali bukan perkara baharu, malah terdapat NGO mengakui kejadian tersebut merupakan perihal biasa kerana tiada rawatan khusus mampu memulihkan penagih secara menyeluruh.

Oleh itu, pihak KKM, KDN dan agensi perlu bekerjasama dengan NGO untuk berbincang selain melaksanakan penyelesaian alternatif kepada penagih dadah.

Selain itu, sokongan dan penerimaan daripada ahli keluarga juga penting supaya bekas penagih mendapat semula kasih sayang serta mampu mengubah diri menjadi lebih baik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!