'Saya mahu kes ini berakhir dengan cepat' - Yasin

Yasin berharap kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah di Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat berakhir dengan cepat.
Yasin berharap kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah di Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat berakhir dengan cepat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman berharap kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah di Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat berakhir dengan cepat.

Yasin, 49, berkata, ini kerana dia hanya ingin menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selepas diperintahkan mahkamah, enam bulan lalu.

“Alhamdulillah, kalau dekat penjara dulu saya sakit. Sekarang duduk di hospital makin sihat, malah ubat, makan dan tidur semuanya cukup.

“Hari ini, saya diwakili Ariff Azami Hussein, saya setuju untuk melantiknya semula kerana beliau merupakan peguam ketika kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas pengurusan kes bagi lantikan peguam.

Semasa prosiding kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk pengurusan kes seterusnya, agar Ariff Azami yang baharu dilantik untuk mewakili Yasin, dapat meneliti rekod rayuan terbabit.

Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

Mengulas mengenai perkembangan buku perjalanan hidupnya yang diberikan judul ‘Daripada Pentas Juara ke Penjara’, pelantun lagu ‘Kerna Dia’ ini berkata, naskah berkenaan masih dalam proses untuk disiapkan.

“Buku itu telah siap, Insya-ALLAH apabila keluar nanti, baru ia akan diterbitkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 November tahun lalu, Yasin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas tiga kes dadah, namun diperintah ke hospital berkenaan.

Hakim, Faiz Dziyauddin memutuskan bahawa penyanyi atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman diletakkan di bawah penjagaan selamat di hospital itu untuk tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

Pada 6 Julai 2022, Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!