PN sekali lagi gesa polis segera tarik notis terhadap Azmin

Tangkap layar artikel berkaitan makluman Azmin berkenaan tindakan yang dikenakan terhadapnya berkait isu PKNS pada Selasa.
Tangkap layar artikel berkaitan makluman Azmin berkenaan tindakan yang dikenakan terhadapnya berkait isu PKNS pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mendakwa kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan seolah-olah cuba menafikan siasatan sebenar yang dijalankan ke atas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menggunakan alasan siasatan terhadap Mohamed Azmin disebabkan pendedahan maklumat yang mengandungi fakta salah di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan adalah tidak berasas dan cuba menutup kesilapan.

"Butiran dalam notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah (KAJ) yang diserah kepada Mohamed Azmin, tercatat dengan jelas bahawa siasatan dilakukan oleh pihak PDRM adalah berkenaan dengan ucapan di dalam Dewan Negeri Selangor pada 28 Februari 2024.

“PN mengulangi kenyataan bahawa tindakan polis mengeluarkan notis Seksyen 111 KAJ, bertentangan dengan prinsip kekebalan dan perlindungan diberikan kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengemukakan ucapan serta hujah dalam DUN,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mohamed Azmin Ali mendakwa menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan ketika persidangan negeri itu.

Pun begitu, pada 21 Mei lalu, polis mengesahkan telah merakam keterangan Mohamed Azmin berkaitan kebocoran maklumat tidak tepat berkaitan kewangan dan keputusan pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Hussein berkata, siasatan ini dimulakan selepas laporan diterima 14 Mac lalu oleh seorang pegawai PKNS yang mendakwa dokumen sulit perbadanan itu telah dibocorkan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin menegaskan, jika fakta didedahkan Mohamed Azmin bersumberkan dokumen disifatkan sulit, namun beliau tetap mempunyai kekebalan dan perlindungan di bawah Perkara 77 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dibaca bersama Seksyen 2 dan 3 (Jadual).

Artikel Berkaitan:

“PN melahirkan kekesalan tentang isu ini dikendalikan oleh pihak polis dan Kerajaan Madani yang sanggup menggunakan apa sahaja helah demi helah bagi menutup ruang perdebatan isu-isu rakyat.

“Bahkan, aparatus kerajaan telah digunakan sewenang-wenangnya untuk melakukan penganiayaan politik dan mewujudkan persepsi negatif terhadap ahli politik pembangkang, tanpa segan silu mempertahankan imej Kerajaan Madani yang semakin hari semakin tercalar,” ujarnya.

Justeru, beliau sekali lagi menggesa agar notis tersebut ditarik balik serta-merta dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan sebarang bentuk tindakan yang tidak demokratik serta melanggar prinsip asas undang-undang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!