Bangkit isu PKNS, Azmin dakwa dipanggil polis

Mohamed Azmin ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) pada Isnin.
Mohamed Azmin ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan ketika persidangan negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu berkata, beliau juga diminta menghadirkan diri bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Selasa.

Susulan itu, Mohamed Azmin menggesa supaya kerajaan menghentikan sebarang intimidasi terhadap ADUN daripada membangkitkan isu tersebut.

“Dalam menjalankan tugas sebagai ADUN dan seorang ketua pembangkang, baru-baru ini saya telah membangkitkan beberapa isu berkaitan pentadbiran kerajaan negeri amnya dan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) secara khususnya.

"Tetapi saya terkejut apabila saya dikeluarkan notis ini untuk memberikan kenyataan berhubung apa yang saya katakan di DUN semasa menjalankan fungsi dan tugas saya.

"Tindakan mengeluarkan notis tersebut adalah satu percubaan untuk menakut-nakutkan saya dan memberi tekanan kepada saya," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini pada Isnin.

Mohamed Azmin (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) pada Isnin.
Mohamed Azmin (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Mohamed Azmin meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung tindakan PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion, kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohamed Azmin juga memetik laporan daripada kertas perniagaan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah, Tropicana Corporation Bhd, memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, notis yang dikeluarkan secara jelasnya melanggar perundangan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

"Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada ADUN boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan sebarang yang diperkatakan olehnya dalam prosiding dalam DUN.

"Seksyen 2 Jadual di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 memberikan jaminan berkenaan hak kebebasan bersuara dan perbahasan dalam mana-mana prosiding DUN dan hak tersebut tidak boleh dicabar atau dipertikai.

"Lebih penting, Seksyen 3 Jadual sama juga memperuntukkan bahawa tiada ahli boleh dikenakan apa-apa prosiding sivil atau jenayah, ditangkap, dipenjara atau dikenakan membayar ganti rugi disebabkan perkara yang mungkin dibawa olehnya melalui petisyen, rang undang-undang, ketetapan, usul atau selainnya," ujarnya.

Mohamed Azmin berkata, peguam cara telah diarahkan memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menyemak tindakan atau keputusan salah pihak polis kerana mengeluarkan notis tersebut.

"Saya juga menyeru menghentikan semua atau apa-apa tindakan untuk memulakan siasatan atau mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana ADUN negeri ini," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!