Takiyuddin gesa henti, tarik semula notis terhadap Azmin

Takiyuddin. Tangkap layar artikel berkaitan makluman Azmin berkenaan tindakan yang dikenakan terhadapnya berkait isu PKNS pada Selasa.
Takiyuddin. Tangkap layar artikel berkaitan makluman Azmin berkenaan tindakan yang dikenakan terhadapnya berkait isu PKNS pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa supaya intimidasi atau notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah yang dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali dihentikan dan ditarik balik serta-merta.

Menurutnya, ahli Parlimen atau ADUN mempunyai perlindungan daripada sebarang pendakwaan jenayah serta tindakan sivil bagi setiap ucapan atau perbahasan dalam dewan selagi tidak melanggar undang-undang termasuk peraturan mesyuarat.

"Prinsip kekebalan ini digariskan dengan jelas di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri, khususnya Seksyen 2 dan 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

"Saya menegaskan bahawa tindakan memberi notis kepada Azmin bukan sahaja bertentangan dengan prinsip asas demokrasi di seluruh dunia, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor malah ia adalah satu tindakan penakut serta terdesak untuk menutup isu-isu kepincangan pentadbiran yang ditimbulkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Azmin yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mendakwa menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan ketika persidangan negeri itu.

Azmin berkata, beliau turut diminta untuk menghadirkan diri bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Selasa.

Ujarnya, kerajaan perlu menghentikan sebarang intimidasi terhadap ADUN daripada membangkitkan isu tersebut dan beliau telah mengarahkan peguam cara untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menyemak tindakan atau keputusan salah pihak polis kerana mengeluarkan notis tersebut.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, Perikatan Nasional mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan terhadap Azmin.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Madani kini ibarat takut dengan bayang-bayang sendiri, bukan sahaja gagal berwacana secara sihat dan profesional bagi menjawab isu malah mengambil tindakan kejam bagi menyepikan kritikan serta menyekat kebebasan bersuara.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi di negara ini, seorang ahli dewan undangan yang dipilih oleh rakyat di ambil tindakan atas ucapannya ketika memenuhi tanggungjawabnya di dalam Parlimen atau DUN," ujar Takiyuddin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!