Dua pemilik syarikat didakwa tipu bekal pasir bagi projek bina jalan

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menipu dua pelabur berhubung pembekalan pasir bagi projek membina jalan dari Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yazlinda Ya’akob, 47, dan P Kuhan, 46, masing-masing merupakan pemilik syarikat membekal pasir membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mereka didakwa dengan niat bersama memperdayakan dua lelaki, Lim Chai Lai dan Loo Choon Sing, dengan mendorong setiap mangsa menyerahkan wang RM100,000 dengan mempercayai mereka akan membekalkan pasir di persimpangan FT32 Jalan Dengkil/Bandar Baru Salak Tinggi bagi projek membina jalan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bank CIMB Cawangan Jalan Bukit Bintang di sini, pada 23 dan 24 Mac 2022, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dengan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shahruzaman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Vishaalini Subramaniam.

Mahkamah yang menetapkan sebutan kes pada 19 Jun ini membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!