Bau bangkai, kimia di Sungai Beserah 'seksa' penduduk

Andansura dan penduduk menunjukkan bau busuk itu datangnya dari Sungai Beserah
Andansura dan penduduk menunjukkan bau busuk itu datangnya dari Sungai Beserah
A
A
A

KUANTAN - Lebih 1,000 penduduk di empat kampung yang tinggal berhampiran Sungai Beserah terpaksa menghidu bau seakan bangkai atau bahan kimia sejak empat hari lalu.

Empat kampung terlibat ialah Dato Rashid, Jeram, Kubang Badak dan Beserah.

Mereka mendakwa bau tersebar melalui udara yang berpunca dari sungai itu mengundang rasa tidak selesa, selain menimbulkan kegusaran kepada mereka dari sudut kesihatan.

Mohd Sabry Jaffar, 43, yang bekerja sendiri berkata, bau busuk seumpama bangkai atau bahan kimia bagaikan memberikan 'seksaan jiwa' kepada penduduk.

Menurutnya, suasana tidak selesa ini, mengganggu aktiviti harian mereka apabila hampir setiap masa perlu menghidu bau busuk.

"Bau busuk itu, paling kuat (dihidu) pada waktu pagi (seperti) petang semalam (Rabu), (ketika itu) kita hidu bau macam bangkai, hari ini bau macam cuka, bau masam begitulah, lebih kurang macam bahan kimia.

"Bukan apa (kita) tidak selesa, begitu juga anak-anak. Kita penduduk tidak tahu apa yang (sebenarnya) berlaku dan bimbang bau ini boleh memberi kesan dari sudut kesihatan," katanya ketika ditemui di Kampung Jeram di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

JAS telah menghantar dua pasukan di hulu dan hilir Sungai Beserah bagi menyiasat serta mengenal pasti punca bau yang dipercayai datang dari sungai tersebut. Gambar kecil: Wan Udani, Ahmad Rizal, Mohd Sabry
JAS telah menghantar dua pasukan di hulu dan hilir Sungai Beserah bagi menyiasat serta mengenal pasti punca bau yang dipercayai datang dari sungai tersebut. Gambar kecil: Wan Udani, Ahmad Rizal, Mohd Sabry

Tinjauan Sinar Harian mendapati, bau busuk boleh dihidu sehingga jarak 100 meter daripada sungai berkenaan.

Bagi peniaga, Wan Udani Wan Ahmad, 50 menjelaskan, penduduk di kawasan terlibat tetap cuba menjejaki bau busuk di tepi Sungai Beserah dan longkang bagi mengetahui punca.

Katanya, namun tidak menjumpai sebarang tanda mencurigakan di sepanjang Sungai Beserah dan saliran longkang diperiksa mereka, tetapi bau masih dapat dihidu.

"Kita tidak tahu apa (sebenarnya) punca, sebelum ini timbul juga masalah seperti air berbuih dan keluarkan bau semacam (seumpama) bahan kimia, tapi kali ini bau (seakan) bangkai.

"Dulu bau (sebegini) tidak lama, tapi kini bau busuk sudah berhari-hari, lagi berada dekat dengan sungai, bau semakin kuat sehingga menusuk hidung," luahnya memberi pencemaran bau seperti ini sudah beberapa kali dihadapi penduduk.

Senada dengan itu, penjawat awam, Ahmad Rizal Jaafar, 44, memberitahu setiap kali air sungai keruh, bau yang kurang menyenangkan dapat dihidu.

Dia membesar di Kampung Jeram juga tidak menolak kemungkinan bau busuk ini berpunca daripada perbuatan manusia.

"Setahun, dua atau tiga kali (kita hidu) berbau busuk. (Kita berpendapat) ini perbuatan manusia, kalau (secara) semula jadi (ia) tidak berbau seperti ini.

"Saya minta pihak berkenaan (berkuasa) membanteras kegiatan tidak bermoral ini sebab kalau dulu air sungai ini boleh mandi dan diminum, tapi sekarang tiada keistimewaan kerana sudah tercemar," katanya yang meminta pihak berkuasa dapat mencari punca dan menyelesaikan isu ini dengan segera.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mengesahkan telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebaiknya sahaja menerima aduan daripada penduduk dua hari lalu.

Menurutnya, JAS telah menghantar dua pasukan di hulu dan hilir Sungai Beserah bagi menyiasat serta mengenal pasti punca bau yang dipercayai datang dari sungai tersebut.

Selain itu, Andansura turut memaklumkan terdapat beberapa aktiviti besar dikesan berlaku sepanjang Sungai Beserah yang mungkin menjadi punca kepada pencemaran antaranya aktiviti mencuci lori dan aktiviti pertanian.

"Sekiranya ada sebarang salah laku yang menyebabkan kepada kejadian ini, kita harap pihak berwajib mengambil tindakan tegas.

"Kita juga mengharapkan pemantauan daripada penduduk setempat, jika ada perkara yang berkaitan dengan kejadian ini atau pun ada perkara yang menimbulkan kecurigaan mereka di harap dapat melaporkan pihak berwajib untuk tindakan segera" katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!