New Zealand haramkan bahan kimia PFAS dalam kosmetik

Penggunaan bahan per-and polyfluoroalkyl (PFAS) akan diharamkan dalam produk kosmetik mulai 31 Disember 2026. Gambar hiasan
Penggunaan bahan per-and polyfluoroalkyl (PFAS) akan diharamkan dalam produk kosmetik mulai 31 Disember 2026. Gambar hiasan
A
A
A

DUNEDIN - New Zealand mengharamkan penggunaan sekumpulan bahan kimia yang tidak terurai, yang dianggap mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan manusia, lapor agensi berita (dpa) Jerman.

Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar pada Selasa berkata, penggunaan bahan per-and polyfluoroalkyl (PFAS) akan diharamkan dalam produk kosmetik mulai 31 Disember 2026.

New Zealand merupakan antara negara pertama di dunia yang mengharamkan PFAS, menurut pihak berkuasa.

PFAS kadangkala digunakan dalam produk seperti pengilat kuku, krim pencukur, bedak asas, gincu dan maskara. Bahan kimia itu ditambah untuk melicinkan kulit atau untuk menjadikan produk kosmetik lebih tahan lama, boleh diratakan serta kalis air.

Pengurus penilaian semula bahan berbahaya pihak berkuasa Shaun Presow berkata penyelidikan antarabangsa menunjukkan bahawa PFAS hanya ditemukan dalam sebilangan kecil produk.

"Namun, kami mengambil pendekatan berjaga-jaga terhadap potensi risiko PFAS.

"Kami tahu bahan kimia ini tidak mudah terurai, ia boleh terkumpul di dalam badan, dan sesetengahnya boleh menjadi toksik pada tahap tinggi," katanya

Mengharamkan bahan kimia dalam kosmetik adalah sebahagian daripada tindakan berterusan negara, termasuk menamatkan penggunaan semua buih pemadam kebakaran PFAS serta menjalankan ujian ke atas tahap kepekatan PFAS dalam alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Bahan kimia sintetik digunakan secara meluas dalam produk pengguna dan proses perindustrian di seluruh dunia kerana sifatnya yang tahan air, gris, haba dan kekotoran. - Bernama-dpa