Kutipan, agihan zakat LZS cecah RM1 bilion tahun lepas

Syed Anwar (tiga dari kiri) pada Laporan Kewangan LZS 2023 di Hotel Mardhiyyah and Suites di sini pada Khamis.
Syed Anwar (tiga dari kiri) pada Laporan Kewangan LZS 2023 di Hotel Mardhiyyah and Suites di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan pertumbuhan cemerlang dari segi kutipan dan agihan zakat mencecah RM1 bilion pada tahun lepas.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, LZS mencatat kutipan sebanyak RM1.12 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 4.8 peratus berbanding RM1.07 juta pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, dalam tempoh sama, LZS telah mengagihkan sebanyak RM1.15 bilion merangkumi peningkatan 9.7 peratus yang memberi manfaat kepada 350,000 penerima zakat melibatkan lapan kategori asnaf.

"Kejayaan ini dicapai berlandaskan sokongan berterusan daripada lebih 390,000 pembayar zakat atau Muzakki termasuk daripada 60,776 pembayar zakat baharu.

"Zakat pendapatan merupakan zakat tertinggi dikutip sebanyak RM663 juta dengan saluran utama adalah melalui potongan gaji membabitkan RM372 juta," katanya menerusi sidang akhbar Laporan Kewangan LZS 2023 di Hotel Mardhiyyah and Suites di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbin.

Beliau berkata, LZS telah mengagihkan zakat lebih RM11 billion sepanjang 30 tahun perkhidmatan sejak 1994.

"Selain bantuan dan sokongan kewangan untuk memenuhi pelbagai keperluan, LZS turut memperkasakan masyarakat dengan lebih 3,600 individu berjaya keluar daripada status asnaf dan mula berdikari.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan kesungguhan kami menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi asnaf dengan RM777 juta disalurkan menerusi Program Pembangunan Sosial dan RM171 juta Program Pembangunan Pendidikan dan Ekonomi pada tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, LZS menjadi institusi zakat pertama dalam negara mengeluarkan Laporan Kelestarian membabitkan kutipan dan agihan bagi tahun 2023.

Syed Anwar Jamalullail berkata, laporan berkenaan didedahkan kepada umum selepas selesai proses pengauditan dan dibawa ke lembaga pengarah.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan komitmen LZS yang berpegang kepada mandat, amanah serta integriti.

"Laporan ini bukan satu kewajipan namun dilakukan atas inisiatif LZS untuk menegakkan prinsip ketelusan.

"LZS berpandangan langkah ini penting bagi menambahkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat,” katanya.