Tuntutan Sulu: Stampa terima hukuman setimpal

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan sabitan kesalahan menghina mahkamah terhadap penimbang tara Sulu Gonzalo Stampa dalam kes tuntutan pihak mengaku waris Sulu ke atas Malaysia adalah berita yang amat menggembirakan untuk rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan keputusan mahkamah rayuan untuk menolak rayuan Stampa dan mengesahkan hukuman penjara enam bulan serta larangan satu tahun daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara itu telah dimaklumkan pada Jumaat lalu.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan Madrid menolak rayuan Stampa dan telah mengesahkan bahawa Stampa mempunyai kewajipan untuk mematuhi keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi Madrid, tanpa mengira pendapat dia mengenainya, atau sebarang perkembangan dalam timbang tara yang dia secara tidak sah terus mempengerusikannya walaupun selepas pembatalan, dengan kesan retroaktif terhadap pelantikannya dan anugerah separa mengenai bidang kuasa yang telah dikeluarkannya.

Jelas Azalina, dalam penghakimannya Mahkamah Rayuan Madrid mengesahkan bahawa Stampa dengan sedar dan sengaja mengingkari keputusan serta perintah jelas Mahkamah Tinggi Madrid yang yang diputuskan susulan pembatalan pelantikannya sebagai penimbang tara.

Malaysia sebelum ini telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Ia juga rentetan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun 2023, yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award terakhir di negara terbabit.

Pada 2019, kumpulan itu telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada Julai tahun lalu, Petronas telah menerima perintah untuk merampas dua unit miliknya di Luxembourg, ketika waris Sulu tersebut berusaha menguatkuasakan pelaksanaan award timbang tara itu.

Artikel Berkaitan:

Malaysia berhenti membuat pembayaran kepada waris Sulu selepas sekumpulan 200 anggota bersenjata yang dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu telah menceroboh masuk ke daerah Lahad Datu di Sabah dari Filipina, dalam usaha untuk mengambil alih negeri itu pada 11 Februari 2013.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!