Kes Sulu: Mahkamah Rayuan Madrid kekal sabitan terhadap Stampa

Azalina Othman Said. Foto Bernama
Azalina Othman Said. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan sabitan kesalahan menghina mahkamah terhadap penimbang tara Sulu Gonzalo Stampa, dalam kes tuntutan pihak mengaku waris Sulu ke atas Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan berkata, keputusan mahkamah rayuan untuk menolak rayuan Stampa dan mengesahkan hukuman penjara enam bulan serta larangan satu tahun daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara itu, telah dimaklumkan pada hari Jumaat lepas.

"Dalam penghakimannya Mahkamah Rayuan Madrid mengesahkan bahawa Stampa dengan sedar dan sengaja mengingkari keputusan serta perintah jelas Mahkamah Tinggi Madrid yang yang diputuskan susulan pembatalan pelantikannya sebagai penimbang tara.

"Mahkamah Rayuan Madrid kini menolak rayuan Stampa dan telah mengesahkan bahawa Stampa mempunyai kewajipan untuk mematuhi keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi Madrid, tanpa mengira pendapat dia mengenainya, atau sebarang perkembangan dalam timbang tara yang dia secara tidak sah terus mempengerusikannya walaupun selepas pembatalan, dengan kesan retroaktif terhadap pelantikannya dan anugerah separa mengenai bidang kuasa yang telah dikeluarkannya,” katanya.

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Malaysia yang mempunyai keyakinan penuh dan tidak berbelah bagi terhadap sistem keadilan Sepanyol, telah memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya untuk membeli forum di negara lain.

Pada 11 Disember tahun lepas, mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dan Kerajaan Malaysia telah menggesa Mahkamah Madrid agar menjatuhi hukuman penjara ke atas Stampa.

Mahkamah Jenayah yang bertanggungjawab terhadap perkara itu pada 22 Disember tahun lepas dalam keputusannya mengisytiharkan bahawa tindakan Stampa merupakan kesalahan jenayah, dan Stampa kemudian memfailkan rayuan terhadap penghakiman itu di Mahkamah Rayuan Madrid.

Azlina berkata, Malaysia menyambut baik keputusan penting itu dan menganggap ia sebagai kemenangan penting bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian timbang tara antarabangsa sebagai satu bentuk alternatif dalam penyelesaian pertikaian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Malaysia juga yakin bahawa kemenangan ini akan terus menjadi penghalang kepada tindakan buruk yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam Penipuan Sulu.

"Ia mengesahkan sekali lagi bahawa Penipuan Sulu terjadi disebabkan oleh tingkah laku jenayah seorang penyangak penimbang tara," katanya.

Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen dan keazaman teguh beliau dalam melindungi kedaulatan Malaysia walau apa cara sekalipun, serta sokongan tidak berbelah bahagi beliau kepada pasukan Malaysia yang memerangi dakwaan remeh ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Sekretariat Khas Bilik Gerakan Sulu, rakan sejawatnya dan rakyat Malaysia amnya atas sokongan berterusan mereka dalam perjuangan ini.

"Kerajaan Madani Malaysia akan terus memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi pada setiap masa,” katanya.

Sebelum ini lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu yang telah tidak berfungsi, memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol untuk mendapatkan berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung tuntutan keatas Sabah, dan mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes tuntutan Sulu.

Malaysia telah memperoleh kemenangan dalam pertikaian yang telah lama berlarutan, hasil keputusan Mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan juga di Mahkamah Sepanyol. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!