Jual buah hutan tampung belanja keluarga

Rohaya menunjukkan kelubi putih dan merah yang dijual pada harga RM15 satu ikat di tepi jalan dari Bandar Muadzam menghala ke Kuantan.
Rohaya menunjukkan kelubi putih dan merah yang dijual pada harga RM15 satu ikat di tepi jalan dari Bandar Muadzam menghala ke Kuantan.
A
A
A

ROMPIN - Pelbagai hasil sumber hutan menjadi sumber rezeki buat sebuah keluarga Orang Asli dari perkampungan Orang Asli Kampung Batu Hitam, Bukit Ibam, Muadzam Shah di sini.

Namun kali ini, Rohaya Aying, 33, menjual asam kelubi di bahu jalan dari bandar Muadzam Shah menuju ke Gambang, Kuantan bagi menampung kos perbelanjaan hariannya.

Menurutnya, buah tersebut dijual memandangkan ketika ini adalah musim kelubi yang dicari di dalam hutan berhampiran kampungnya.

“Saya jual buah hutan ikut musim. Kali ini musim kelubi, jadi saya jual buah ini. Setiap petang saya akan cari buah kelubi di hutan untuk dijual pada keesokannya.

“Ada juga saya jual buah hutan lain tapi sekarang tidak berapa ada kerana bukan musim. Contohnya buah durian hutan, buah tampoi dan buat keranji," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan dari Bandar Muadzam menghala ke Kuantan pada Rabu.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, mampu meraih pendapatan RM50 sehari dan ramai yang menggemari buah kelubi itu.

Jelasnya, keuntungan daripada meniaga buah hutan terbabit dapat digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anaknya selain keperluan harian.

"Dapatlah saya sekeluarga sara kehidupan, walaupun tidak banyak, tetapi hasil jualan diperoleh membolehkan kami terus hidup," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Rohaya berkata, terdapat dua jenis kelubi yang dijual iaitu kelubi putih dan kelubi merah serta dijual RM15 untuk satu ikat.

“Pada saya, buah kelubi merah lebih masam berbanding yang putih. Tapi kedua-duanya lebih kurang sama sahaja.

"Sambutan diterima daripada pelanggan juga baik. Ada yang datang beli kelubi ini untuk buat jeruk dan ada juga guna dalam masakan seperti masak asam pedas ikan sungai,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!