Pinda Akta Orang Asli: Harap perbincangan libatkan POASM

Majid Suhut
Majid Suhut
A
A
A

BENTONG - Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) mahukan pertemuan serta perbincangan turut dilakukan bersama persatuan itu susulan hasrat kerajaan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Presidennya, Majid Suhut berkata, sehingga kini tiada pertemuan rasmi dilakukan dengan persatuannya bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, persatuan khuatir pindaan yang dilakukan akan menjejaskan keistimewaan yang dinikmati masyarakat Orang Asli di negara ini.

Majid (kiri) ketika menyerahkan cenderamata kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr Juli Edo yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut di Bentong baru-baru ini.
Majid (kiri) ketika menyerahkan cenderamata kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr Juli Edo yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut di Bentong baru-baru ini.

"Sepatutnya sebelum buat pindaan, ambil kira pandangan masyarakat Orang Asli dulu.

"Kita harapkan pindaan akan memperbaiki kelemahan yang ada bukannya keistimewaan sedia ada dibuang.

"Kita tidak tahu apa kandungan yang hendak dipinda, setakat ini hanya diuar-uarkan, cakap-cakap nak pinda hingga menimbulkan persoalan dan kegusaran masyarakat Orang Asli," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata sedemikian selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan POASM di The WaterWay Villa, di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, pada Februari tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan dan kelahiran serta kawasan rayau melibatkan Orang Asli antara yang akan diberi perhatian di dalam pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Menurutnya, pindaan yang akan dilakukan tidak lama lagi itu bertujuan untuk menjamin hak Orang Asli.

Jelas Majid lagi, sekurang-kurangnya ada perbincangan selain draf pindaan diberikan untuk disemak bagi memastikan pindaan tersebut memenuhi kehendak masyarakat Orang Asli.

"Ia supaya sebelum dibawa ke Parlimen nanti tidak akan menimbulkan isu-isu berbangkit pada masa depan.

"Kita memang rasa terkilan, kecewa kerana macam saya selaku Presiden POASM menjaga hak kepentingan masyarakat Orang Asli di negara ini dan tidak memihak mana-mana pihak," jelas beliau yang turut memberitahu POASM ditubuhkan sejak 1977.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!