Bina perumahan atas kolam tadahan malapetaka buat penduduk Taman Kinrara - Sze Han

Sze Han (tengah) kesal kawasan Kolam Tadahan Banjir (KTB) Bohol diambil alih pihak swasta untuk tujuan pembangunan perumahan.
Sze Han (tengah) kesal kawasan Kolam Tadahan Banjir (KTB) Bohol diambil alih pihak swasta untuk tujuan pembangunan perumahan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han kesal dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membenarkan kawasan Kolam Tadahan Banjir (KTB) Bohol diambil alih pihak swasta untuk tujuan pembangunan perumahan.

Sze Han yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor berkata, langkah mengenakan syarat naik taraf KTB Bohol kepada pemaju perumahan sebagai timbal balas syarat pemajuan adalah langkah terkebelakang dan tidak wajar.

“Saya telah berkali-kali nyatakan malah menulis surat kepada pihak DBKL agar kolam ini diselenggara dan kekal berfungsi sebagai kolam tadahan banjir dan bukan diserah milik untuk tujuan pembangunan.

"Saya dimaklumkan pemaju cuma dikenakan syarat naik taraf kolam berjumlah RM40 juta sahaja dan selepas tempoh 'Defect Liability Period', ia akan diserah semula kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penyelenggaraan.

"Apalah nilai RM40 juta yang sepatutnya pihak kerajaan boleh salurkan berbanding membina 5,000 unit perumahan padat yang akhirnya mendatangkan kesan banjir lebih teruk dan akan menjadi malapetaka kepada penduduk Taman Kinrara,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengimbas kembali keadaan banjir di Taman Kinrara pada Disember 2021 dan Mac 2022, Sze Han berkata, beliau secara peribadi turun ke kawasan banjir menyelamatkan kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya keluar daripada kawasan tersebut.

“Lebih 2,000 rumah terjejas, 8,000 isi rumah. Surau An-Nur Taman Kinrara baru sahaja dapat tukar karpet. Balai raya tenggelam, Dewan Masyarakat MBSJ pula temboknya runtuh. Adakah pihak DBKL dan pejabat tanah terbabit memahami perkara ini?” ujarnya lagi.

Sejurus selepas kejadian banjir pada Mac 2022, kerajaan negeri Selangor melalui JPS Negeri Selangor telah bersetuju untuk membuat projek tebatan banjir di Sungai Kuyoh di Taman Kinrara.

Artikel Berkaitan:

Projek pengukuhan tebing sungai dan pembinaan ban setinggi dua meter bernilai RM1.1 juta itu berjaya mengelakkan kejadian banjir di Taman Kinrara Seksyen 1 sehingga kini.

Dalam merealisasikan projek itu, Sze Han menjelaskan, lawatan tapak secara berkala dan mesyuarat susulan dilakukan untuk mempercepatkan pembangunan tersebut.

“Kita berjumpa di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, turun tapak setiap dua minggu dan dengan usaha bersama JPS Petaling projek ini kita siapkan pada November 2022 sebelum musim hujan, ini hanya ambil masa sembilan bulan kerana kita nak beri ketenangan dan keyakinan kepada rakyat di Taman Kinrara banjir tidak berlaku lagi.

"Tahun lalu saya lihat air sungai naik hampir melepasi ban sungai yang baharu. Saya kemudiannya menulis surat kepada DBKL minta tolong korek dan selenggara KTB Bohol. Tetapi kita dapat tahu sekarang ia hendak diserahkan kepada pemaju. Penduduk Kinrara runsing. Saya runsing,” tambahnya lagi.

Sze Han sehubungan itu mencadangkan agar pewartaan semula kawasan kolam tersebut dan perjanjian bersama pemaju dibatalkan dan pihak DBKL atau JPS membina kolam tadahan banjir berdasarkan spesifikasi dinyatakan melalui peruntukan dan perolehan kerajaan.

“Saya yakin RM40 juta bukanlah banyak untuk kerajaan Persekutuan salurkan untuk tujuan ini. Saya harap ia dipertimbangkan.

“Pembinaan 5,000 unit rumah di sini menjejaskan kolam, aliran trafik dan kawasan zon penampan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) yang sedia sesak. Ini tidak boleh berlaku," ujarnya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak DBKL dan pihak yang berkaitan mengenai isu terbabit.

Pada 16 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, dakwaan status rizab KTB Kampung Bohol dibatalkan untuk pembangunan perumahan adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau menegaskan proses itu bagi membolehkan pewartaan semula meliputi kawasan yang lebih besar.

Kerajaan juga katanya, memberi jaminan bahawa tiada pembinaan di sekitar kawasan rizab itu sehingga projek menaik taraf kolam berkenaan siap sepenuhnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!