KKM rancang bina klinik kesihatan di Puncak Alam

Dr Dzulkefly (kiri) dan laporan Sinar Harian pada 26 Mei lalu.
Dr Dzulkefly (kiri) dan laporan Sinar Harian pada 26 Mei lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang pembinaan sebuah klinik kesihatan di Puncak Alam berikutan ketiadaan kemudahan prasarana itu lebih 20 tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu masih dalam peringkat cadangan dan berharap ia dapat dilaksanakan.

Menurut Dzulkefly, pembinaan klinik itu diusulkan bagi pelan kelima Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Kita berharap akan mendapat peruntukan bagi pembinaannya, bagaimanapun anggaran perbelanjaannya belum ditentukan lagi dan akan dibahas sebelum diluluskan kelak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pek Kasih Mama Shopee di Puncak Alam di sini, pada Sabtu.

Beliau memberitahu, keperluan klinik itu amat mustahak bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk setempat yang memerlukan kemudahan perubatan.

Sinar Harian pada 26 Mei lalu melaporkan, KKM digesa mempercepatkan pembinaan klinik kesihatan di Puncak Alam di sini yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk.

Ketiadaan klinik kesihatan di kawasan berkenaan mengundang resah penduduk yang menanti prasarana itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, Dzulkefly memberitahu, sebuah klinik kategori dua dicadangkan dibina di sekitar kawasan Desa Coalfields, di sini.

Artikel Berkaitan:

"Tapak klinik itu juga telah dikenalpasti dan kategori dua bangunan berkenaan dapat menampung antara 800 hingga 1,000 pesakit sehari," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!