Pengakuan di hadapan majistret prosedur ‘pelik’ - Peguam

Ibu kepada Zayn Rayyan dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya selepas menghadiri satu prosiding tertutup pada 12 Jun lepas.
Ibu kepada Zayn Rayyan dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya selepas menghadiri satu prosiding tertutup pada 12 Jun lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan polis untuk mendapatkan pengakuan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di hadapan majistret disifatkan sebagai prosedur ‘pelik’ kerana ia jarang berlaku di negara ini.

Peguam jenayah, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, beliau sendiri mengakui agak janggal kerana sepanjang 32 tahun mengendalikan kes-kes sebegini, hanya seorang suspek pernah dibawa di hadapan majistret sekitar 1998.

“Saya tak mahu buka cerita lama tetapi jika dilihat persoalan utama, mengapa tak izinkan peguam iaitu Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat terlibat sama dalam proses tersebut?

“Ia perkara yang mandatori, kalau tidak diwakili peguam memang boleh (permohonan pengakuan) tapi sekarang ini mereka ada peguam.

“Apabila peguam tak dipanggil (ke mahkamah) konon hendak memudahkan kerja dan pengakuan anak guam tidak dinasihat oleh pengamal undang-undang, ia akan menimbulkan persepsi negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang disiarkan secara langsung di TikTok Sinar Harian pada Jumaat.

Program yang dihoskan oleh Haizir Othman bersama wartawan jenayah Sinar Harian, Hisyamuddin Ayub mengupas kisah Zayn Rayyan yang maut dibunuh pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Zaim dan Ismanira ditahan di sekitar Puncak Alam oleh polis Selangor bagi membantu siasatan selain mahkamah membenarkan reman pasangan berusia 29 tahun itu selama keseluruhan 13 hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ahmad Zaharil berpandangan, jika terdapat sebarang pengakuan daripada orang yang disyaki (OYDS), ia disifatkan tidak adil kerana masing-masing tidak diberi nasihat sebaiknya.

“Jadi, ia menimbulkan kemarahan dan tanda tanya, saya sendiri tertanya-tanya apa kegilaan yang mereka buat ini?

“Apakah mereka terdesak untuk mendapatkan kes pendakwaan atau ini sahaja bukti yang ada, itu yang kita nak tahu,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!