Axelsen yakin masih 'berbahaya'

Aksi perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen ketika menentang pemain Jepun Koki Watanabe pada peringkat pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Rabu. Foto Bernama
Aksi perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen ketika menentang pemain Jepun Koki Watanabe pada peringkat pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN nombor satu dunia, Viktor Exelsen tidak berasa tertekan walaupun mengalami kemarau kejuaraan sejak lima bulan, selepas kali terakhir meraih gelaran juara di Jelajah Dunia Akhir pada Disember tahun lepas.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu mengakui berpuas hati dengan pencapaiannya selama ini dengan memenangi pingat emas dan gangsa masing-masing di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016, dua pingat emas kejuaraan Kejohanan Dunia (2017, 2022), Piala Thomas 2016 dan tiga kejuaraan Eropah (2016, 2018, 2022) antara pencapaian lain dalam keseluruhan 23 gelaran Jelajah Dunia dimenanginya.

"Kepada siapa harus saya buktikan segalanya? Saya tidak bermain untuk kepentingan orang lain, dan saya tidak perlu buktikan apa-apa. Saya masih sama, tetap bersemangat seperti ketika usia 15 tahun. Saya boleh kembali dan memenangi segala-galanya dan itu menjadikan saya 'berbahaya’.

"Saya melakukan yang terbaik setiap hari. Saya mempunyai banyak masalah dengan badan saya sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan saya perlahan-lahan memikirkan tentangnya. Saya rasa semakin kuat dari semasa ke semasa, dan saya sangat teruja untuk bermain semula,” katanya ketika ditemui selepas aksi pusingan pertama menentang Koki Watanabe dari Jepun di Axiata Arena, pada Rabu.

Axelsen menang mudah 21-14, 21-11 untuk menempah pertemuan dengan pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul yang mengetepikan wakil taiwan, Chi Yu Jen 21-16, 10-21, 21-19.

Setelah tewas kepada Shi Yu Qi dari China di separuh akhir Terbuka Malaysia pada Januari tahun ini, Axelsen turut tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Perancis, suku akhir All England dan Piala Thomas serta separuh akhir kejohanan Eropah.

Beliau turut dibelenggu kecederaan di bahagian bawah dan kaki kiri semasa Terbuka Denmark pada Oktober 2023.

Mengenai anggapan bahawa beliau merupakan pilihan utama pingat emas Olimpik Paris 2024, Axelsen mengakui sedar akan sasaran diletakkan kepada dirinya namun ia adalah perkara biasa dalam sukan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu dalam sukan selalu diperkatakan mengenai pemain pilihan, digembar-gembur mengenainya, memang hebat tapi segelintirnya saya tidak ambil peduli. Saya hanya cuba menjadi versi terbaik diri saya di dalam dan luar gelanggang.

"Melihat kepada kejayaan yang diraih, saya sangat gembira dengan semua yang saya dah capai. Semua yang dimenangi adalah bonus dan saya masih dahagakan (kemenangan). Secara peribadi, ia adalah posisi terbaik ketika ini,” katanya.

Sejak badminton dipertandingkan sebagai sukan pingat dalam Sukan Olimpik bermula di Barcelona 1992, tiada pemain selain legenda dari China, Chen Long (2008, 2012) telah memenangi pingat emas dua kali berturut-turut dalam acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki, juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura disingkirkan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 20-22, 21-9, 19-21 manakala seorang lagi wakil Taiwan, Chou Tien Chen mengalahkan Rasmus Gemke dari Denmark 21-14, 21-17. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!