[VIDEO] Saksi dakwa Ebit Lew hantar mesej lucah menjelang malam

A
A
A

TENOM - Saksi kesembilan mendakwa mesej yang diterima daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew berunsur lucah dan mengaibkan kehormatannya sebagai wanita.

Dalam keterangan wanita yang juga pengadu dalam kes ini berkata, dia menerima mesej WhatsApp berbentuk lucah daripada Ebit Lew menjelang waktu malam walaupun ketika itu pada bulan Ramadan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dalam pemeriksaan utama meminta saksi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan memberi ayat lucah.

Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.

"Maksud saya dia cuba untuk merangsang saya atas tujuan melayan nafsu seks beliau," katanya dalam keterangannya di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Selasa.

Dalam keterangannya juga diminta membacakan satu persatu mesej lucah yang diterima daripada pendakwah tersebut selain diminta menjelaskan maksud mesej tersebut.

"Bagi saya, ayat-ayat yang dibagi ini mengaibkan kehormatan perempuan sebab dia cuba merangsang untuk memenuhi nafsu seks dia.

"Semasa dia bagi ayat lucah itu, saya ada pesan beliau 'janganlah jalan-jalan kalau asyik nak, kalau nak boleh buat dengan isteri'.

Artikel Berkaitan:

"Maksud saya, kalau dia kuat nafsu seks, dia tak perlu jalan-jalan macam selalu dan dia perlu sentiasa dengan isteri supaya dia tidak perlu goda orang lain.

"Apa yang saya nampak karakter Ebit di sosial media sangat berbeza dengan teks-teks yang dia bagi pada saya, selalu saya tengok dia 'post' terutama tentang isteri dia anggap bidadari seolah-olah dia sangat menghormati seorang perempuan, tapi bila mesej macam tu, seolah-olah dia anggap perempuan ini hanya untuk tujuan seks semata-mata," katanya.

Menerusi keterangan itu juga, saksi mendakwa bahawa Ebit Lew menghantar mesej kepadanya seolah-olah membayangkan sedang melakukan seks dengannya.

"Seperti sebelu ini juga, dia cuba merangsang nafsu saya untuk memuaskan nafsu beliau dengan memuji-muji dan nampak seolah-olah dia membayangkan sedang melakukan seks dengan saya," katanya.

Sepanjang prosiding setakat pagi Selasa, saksi memaklumkan menerusi mesej yang dibaca dalam keterangannya terdapat lebih 375 mesej lucah yang diterimanya.

Prosiding yang bermula jam 9.30 pagi ditangguhkan pada tengah hari dan akan disambung semula jam 2.30 petang Selasa.

Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!