[VIDEO] Saksi terima 250 mesej, panggilan video mengaibkan Ebit Lew

A
A
A

TENOM - Saksi pendakwaan yang kesembilan bagi kes Ebit Lew, memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima sehingga 250 mesej dan panggilan video pendakwah tersebut dalam keadaan berbogel melalui aplikasi WhatsApp.

Saksi wanita yang juga pengadu dalam kes ini memberitahu mahkamah bahawa Ebit Lew mula menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp pada jam 2.28 pagi 4 Mac 2021.

Dalam pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria meminta saksi menjelaskan kepada mahkamah bagaimana Ebit Lew boleh mendapatkan nombor telefonnya.

"Sebelum ini saya ada mesej dia dalam IG (Instagram) berkenaan dengan program Keluarga Sunnah iaitu merujuk tentang masalah dalam keluarga, seperti yang saya maklumkan sebelum ini saya mengenali beliau sebagai 'motivator' dalam program keluarga sunah.

"Jadi saya ambil kesempatan untuk merujuk kepada beliau tentang masalah yang saya hadapi. Saya tidak sangka Ebit membalas mesej saya di IG dan meminta nombor telefon saya, atas dasar percaya tanpa ragu saya memberikan nombor saya," katanya dalam prosiding di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Isnin.

Ditanya sehingga jam berapa Ebit Lew menghubunginya pada tarikh tersebut, saksi memaklumkan bahawa dia dihubungi sepanjang hari termasuk waktu berada di tempat kerja.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa mesej dan gambar yang dihantar kepada Ebit Lew telah dipadam dan tidak berada dalam laporan gambar tangkap layar yang dikemukakan di mahkamah.

Saksi turut memberitahu mahkamah, mesej dan panggilan oleh Ebit Lew juga dibuat pada waktu beliau di tempat kerja dan seorang rakannya mengetahui mengenai panggilan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.

"Sebab semasa Ebit Lew hubungi, saya pasang pembesar suara untuk kami pastikan itu adalah Ebit Lew.

"Selepas itu, pernah ketika di sekolah dan Ebit Lew transit di Dubai, dia buat panggilan video dalam keadaan berbogel dan masa itu kami nampak terus kami tutup panggilan.

"Dia tanya kenapa tutup panggilan, seingat saya masa itulah dia buat panggilan video dalam keadaan tidak berpakaian," katanya.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!