Penghadang saksi dipindah ke kandang Ebit Lew

Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Rabu.
Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Rabu.
A
A
A

TENOM - [DIKEMAS KINI] Penghadang yang disediakan untuk saksi pendakwaan kesembilan iaitu pengadu telah dipindahkan dan diletakkan ke kandang tertuduh, Ebit Lew.

Hari kedua prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom kali ini membabitkan pendakwah terkenal itu terpaksa ditangguhkan seketika untuk kerja memindah dan memasang penghadang pada kandang tertuduh.

Pemasangan penghadang pada kandang tertuduh susulan keputusan mahkamah selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan, Datuk Ram Singh yang menyatakan bahawa perbicaraan tersebut adalah di mahkamah terbuka.

"Pihak pembelaan dan tertuduh tidak dapat melihat tingkah laku saksi kesembilan. Hujahan kami bahawa perbicaraan ini tidak adil.

"Ini selaras dengan apa yang sedang dijalankan di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan berkaitan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh yang didakwa atas pertuduhan rogol di mana peguam dalam kes tersebut berhujah dalam beberapa perkara termasuk Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan keberkesanan pemeriksaan balas oleh peguam selain menggunakan point yang sama.

"Dalam kes ini, pertuduhan adalah kesalahan yang lebih ringan iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.

Ram berkata lagi, beliau tidak berhasrat untuk menangguhkan perbicaraan tersebut namun membantah mengenai penghadang tersebut.

"Dalam berita semalam di media sosial mendapat liputan meluas mengenai kononnya alat sulit anak guam saya dan saya tidak mahu menangguhkan perbicaraan ini kerana pemeriksaan utama telah berlangsung separuh jalan

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami membantah sekeras-kerasnya semasa pemeriksaan balas bahawa penghadang yang akan diletakkan di mahkamah kerana prinsip kardinal pemeriksaan balas adalah untuk menunjukkan kredibiliti dan tingkah laku saksi semasa perbicaraan.

Sementara itu dalam hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad berkata, isu berkenaan demeanor (tingkah laku) adalah diputuskan oleh mahkamah.

"Dalam kes ini saya menegaskan bahawa mahkamah dengan jelas boleh melihat dengan jelas demeanor saksi. Apabila pihak peguam mempertikaikan demeanor saksi, adakah pihak peguam menyoalkan kredibiliti Majistret.

"Tuan Majistret dengan jelas boleh melihat demeanor saksi di dalam mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan penghadang dipindahkan daripada kandang saksi ke kandang tertuduh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!