TPM Fadillah, Elon Musk hadiri mesyuarat kepimpinan tertinggi WWF

Fadillah (kiri) disambut Jokowi ketika menghadiri WWF Kali Ke-10 di Bali International Convention Centre (BICC), hari ini. Foto Bernama
Fadillah (kiri) disambut Jokowi ketika menghadiri WWF Kali Ke-10 di Bali International Convention Centre (BICC), hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BALI - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyertai pemimpin dunia di mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia (WWF) ke-10 yang bermula di sini, hari ini.

Antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat itu ialah dari Fiji, Perancis, Hungary, Maghribi, Belanda, Papua New Guinea, Sri Lanka, Tajikistan dan Emiriah Arab Bersatu, manakala wakil organisasi global yang hadir termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Majlis Air Sedunia (WWC).

Ketibaan Fadillah dan kenamaan lain di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua disambut Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, diikuti acara perasmian yang turut dihadiri pemilik syarikat SpaceX, Elon Musk.

Dalam ucapan pembukaan, Jokowi berharap dunia dapat berganding bahu secara berterusan bagi mengukuhkan komitmen kerjasama dalam mengatasi cabaran global berkaitan air dan memelihara air untuk kemakmuran masa depan.

"Dari 72 peratus permukaan bumi yang dilitupi air, hanya satu peratus yang boleh diakses dan digunakan sebagai air minum dan keperluan sanitasi.

"Malah pada tahun 2050, 500 juta petani kecil yang menyumbang 80 peratus bekalan makanan dunia dijangka menjadi paling terdedah kepada masalah kekeringan," katanya.

Menurut Jokowi, Indonesia, sebagai negara dengan keluasan kawasan perairannya mencapai 65 peratus, mempunyai ramai pakar tempatan dalam pengurusan air dari sepanjang garis pantai, pinggiran aliran sungai, hingga ke tepian tasik.

"Di Indonesia, kolaborasi telah menjadi kunci kejayaan dalam memulihkan Sungai Citarum di Jawa Barat serta pengembangan tenaga hijau, solar panel terapung di empangan Cirata, terbesar di Asia Tenggara dan ketiga di dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Musk menyatakan optimisme mengenai penyelesaian masalah air dan tenaga untuk masa depan dunia. Beliau memuji usaha Indonesia dalam program penghutanan semula bakau dan menekankan perlunya mengelakkan rasa berpuas hati.

Beliau turut membincangkan tentang kekayaan air di bumi, dengan menyatakan bahawa makhluk asing mungkin akan memanggil planet kita sebagai "air" dan bukannya "bumi".

Musk berhujah bahawa krisis air dapat diselesaikan dengan kemajuan berterusan dalam teknologi penyahgaraman.

"Walaupun penyahgaraman dan pengangkutan air diperlukan, kos penyahgaraman kini sangat murah.

"Oleh itu, ketersediaan air tawar sebenarnya bergantung kepada tenaga dan pengangkutan," katanya.

Forum Air Sedunia (WWF) yang diadakan setiap tiga tahun dianjurkan bersama oleh Majlis Air Sedunia (WWC) dan negara tuan rumah.

Acara tahun ini yang bertemakan 'Air untuk Kemakmuran Bersama' berlangsung dari 18 hingga 21 Mei.

Forum ini bertujuan untuk menggalakkan kerjasama global dan mempromosikan tindakan dalam mengenal pasti isu-isu semasa berkaitan pengurusan air melalui penyelesaian yang bersepadu. Fokus utamanya termasuk pemuliharaan air, air bersih, keselamatan makanan dan tenaga, serta pengurangan bencana. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!