X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis rampas ikan kerapu, sagai

Lori yang membawa ikan kerapu dan sagai tanpa permit eksport berjaya ditahan Maqis Johor kelmarin.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas ikan kerapu dan sagai tanpa permit eksport ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar ( KSAB) di sini kelmarin.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pegawainya pada jam 6.30 petang itu mendapati terdapat 575 kilogram (kg) ikan kerapu dan 70kg ikan sagai disorokkan bahagian tengah lori yang dianggarkan bernilai RM32,140.

"Kesemua barang dagangan itu dirampas dan akan disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nur Afifah berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.