Tidak wajar tuduh tanpa bukti, nanti sendiri malu

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan terkesan dengan sikap orang kita yang gemar membuat kesimpulan daripada sesuatu perkara yang belum pasti.

Boleh dikatakan situasi seperti ini berlaku dalam kebanyakan keadaan hinggakan orang yang tidak bersalah menjadi mangsa.

Baru-baru ini kecoh di kumpulan WhatsApp lorong taman perumahan rakan Merak Jalanan berkaitan 'serangan' tahi kucing terhadap rumah pengerusi penduduk.

Berdasarkan gambar yang dikongsi, memang kecoh dibuatnya apabila habis laman rumah dipenuhi tahi kucing.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila kasut kesayangan pengerusi persatuan atau tok ketua 'ditembak' kucing. Habis berbau hancing!

Maka, tok ketua yang hilang sabar terus menuduh kucing peliharaan rakan Merak Jalanan bertanggungjawab atas semua tindakan itu.

Alasannya adalah kerana pernah melihat kucing itu berkeliaran di kawasan rumahnya sebelum hari kejadian.

Mujurlah ada bukti CCTV daripada rumah jiran depan yang menunjukkan 'serangan' itu dilakukan oleh kucing lain dan bukannya seperti didakwa.

Artikel Berkaitan:

Jiran-jiran yang lain pun hairan dengan sikap tok ketua yang terlalu cepat membuat tuduhan tanpa mencari bukti yang kukuh.

Sepatutnya sebagai seorang yang berjawatan, tok ketua perlu lebih rasional dan tidak bertindak membuta-tuli.

Apabila sudah jadi begini, tok ketua pula berasa malu dengan tindakannya yang cemerkap dalam membuat keputusan.

Kisah tok ketua ini mungkin contoh kecil tindakan terburu-buru yang menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Ia sebenarnya boleh dijadikan sempadan kepada kita supaya lebih berhati-hati dalam semua perkara.

Semak dan teliti dahulu bukti yang ada.

Jika samar-samar atau kurang pasti maka tidak perlu membuat sebarang tuduhan.

Nanti sendiri yang malu!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!