Tidak wajar persoal keikhlasan jemaah solat Subuh di masjid

Alif Satar (depan) berswafoto bersama orang ramai yang hadir pada program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada baru-baru ini.
Alif Satar (depan) berswafoto bersama orang ramai yang hadir pada program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada baru-baru ini.
A
A
A

MASIH ramai yang bercerita tentang kempen ‘Solat Subuh macam solat Jumaat’. Nampaknya sudah jadi fenomena.

Siapa sangka, kempen yang mulanya digerakkan oleh selebriti serba boleh, Alif Satar untuk menggalakkan orang ramai solat berjemaah di masjid pada waktu Subuh, menular ke masjid di negeri-negeri lain.

Sampaikan mat-mat motor yang sering dikaitkan dengan kegiatan negatif merempit pun ikut serta.

Merak Jalanan bagaimanapun terpanggil memberi komen apabila ada pihak mengkritik keikhlasan jemaah yang hadir. Kononnya mereka datang kerana artis, bukan kerana ALLAH.

Ada juga mendakwa segelintir yang datang semata-mata mahu berswafoto untuk dimuat naik ke media sosial.

Merak Jalanan tidak mahu komen perkara ini kerana itu adalah hak masing-masing. Bagi Merak Jalanan, usaha dakwah dilakukan selebriti tersebut patut menjadi contoh.

Mungkin yang hadir itu niat awalnya untuk mengikut artis, tetapi tidak mustahil selepas ini mereka akan terbiasa untuk berjemaah ke masjid tanpa paksaan.

Kerja-kerja dakwah tidak ada syarat, tidak semestinya seseorang itu bergelar ustaz atau mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang agama.

Artikel Berkaitan:

Sesiapa sahaja termasuk mereka yang terlibat dengan seni hiburan boleh berdakwah, membawa orang ramai ke arah kebaikan. Apatah lagi artis seperti Alif mempunyai track record bersih, tidak ada sebarang kontroversi.

Cuma Merak Jalanan hairan, mereka yang mengkritik usaha dakwah ini segelintirnya bukan orang-orang biasa, tetapi dalam kalangan bijak pandai dan golongan terpelajar.

Sepatutnya golongan bijak pandai inilah yang terlebih dahulu mengeluarkan idea, melakukan sesuatu untuk menarik orang ramai memenuhi masjid.

Bukan sekadar memberi komen negatif terhadap apa yang sudah dilakukan orang lain.