KBGK biayai pembinaan kompleks maahad tahfiz RM2.2 juta

Muhammad Hamzah (duduk tengah) bersama barisan pimpinan dan ahli KBGK sempena sambutan Hari Penubuhan KBGK ke-47 di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh baru-baru ini.

A
A
A

IPOH - Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) membiayai pembangunan kompleks maahad tahfiz di atas tanah seluas satu hektar di Kampung Sungai Ular, Kepayang di sini.

Kompleks yang bakal dilengkapi pelbagai fasiliti untuk pembangunan pendidikan berorientasikan al-Quran dan akademik itu menelan kos RM2.2 juta dan dijangka siap akhir bulan depan.

Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, projek yang memulakan pembinaan pada Disember 2022 itu menggunakan sepenuhnya sumbangan dan wakaf daripada ahli-ahli kelab dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Addin.

"Kompleks tahfiz ini kita sediakan khusus untuk menempatkan pelajar-pelajar perempuan daripada Yayasan Addin.

"Bukan sahaja asrama, pembangunannya turut dilengkapi dengan bangunan bilik darjah, surau, pejabat dan kantin," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Penubuhan KBGK ke-47 di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini baru-baru ini.

Muhammad Hamzah (kiri) bersama Norali menyantuni penghuni di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat.
Muhammad Hamzah (kiri) bersama Norali menyantuni penghuni di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat.

Muhammad Hamzah berkata, pembinaan maahad tahfiz itu adalah keempat berjaya direalisasikan KBGK sepanjang 47 tahun penubuhannya.

Katanya, sebelum ini, kelab elit itu turut membantu pembiayaan Maahad Tahfiz Imtiyaz di Chemor, Maahad Tahfiz Addin dekat Tapah dan Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini, kami dalam perancangan untuk membangunkan sebuah rumah anak-anak yatim di Sungai Rapat. Projek ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.

Sementara itu, Setiausaha KBGK, Norali Nordin memberitahu, program kampung angkat yang dilaksanakan kelab di penempatan Orang Asli Kampung Lalang, Simpang Pulai menunjukkan perkembangan positif apabila 90 peratus penduduk di situ telah memeluk Islam.

Ujar beliau, program yang dimulakan sejak 10 tahun lalu itu bukan sahaja menumpu kepada kerja-kerja kebajikan, tetapi turut menyediakan khidmat seorang ustaz sebagai tenaga pengajar.

"Alhamdulillah, ini hanyalah sumbangan kecil kami. Banyak lagi program kebajikan yang sedang diatur.

"Antara yang akan dilaksanakan tahun ini adalah projek sekolah angkat di daerah Sungai Siput membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kenang, SK Lintang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!