Loji biogas terbesar negara terima pengiktirafan MBOR

Ahmad Zahid (enam dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 MW Cenergi FJP di Jerantut pada Sabtu.
Ahmad Zahid (enam dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 MW Cenergi FJP di Jerantut pada Sabtu.
A
A
A

JERANTUT - Malaysia terus mengorak langkah dalam penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui projek biogas daripada sisa efluen kelapa sawit.

Terbaharu, Projek Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar negara di Kilang Sawit Felcra Jayaputra dekat sini dengan kapasiti 5.5-megawatt (MW) yang beroperasi sepenuhnya pada 11 April 2024 telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan inisiatif strategik bagi memastikan negara terus memperoleh sumber tenaga elektrik secara berterusan selain menjamin kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, inisiatif tersebut bertepatan dengan Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

"Hari ini kita menyaksikan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record kepada kilang biogas di Jerantut, Pahang ini.

Loji biogas efluen sawit terbesar di Malaysia mendapat pengiktirafan MBOR
Loji biogas efluen sawit terbesar di Malaysia mendapat pengiktirafan MBOR

"Insya-ALLAH dalam tempoh dua atau tiga bulan dari sekarang mereka akan dapat anugerah World Book of Record dan kita harap ini akan dijayakan," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 MW Cenergi FJP dekat sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Felcra Jayaputra, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Pengerusi Cenergi SEA Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, untuk mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh lima ke lapan tahun akan datang, keperluan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan konsisten memainkan peranan penting dalam proses pembangunan, pertumbuhan, perindustrian dan perbandaran.

Jelasnya, agensi-agensi kerajaan juga digalakkan untuk memperkasakan kerjasama strategik dengan syarikat swasta yang berpotensi.

"Ia bagi mengukuhkan kemampuan syarikat serta mengembangkan akses kepada kepakaran dan pemindahan teknologi yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak," tambah Ahmad Zahid.

Loji tersebut mampu membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 14,000 rumah atau kira-kira 70,000 orang penduduk luar bandar yang bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi.

Ia juga merupakan kejayaan hasil kerjasama strategik antara Felcra Berhad, Felcra Jayaputra Sdn Bhd dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) anak syarikat UEM Group Berhad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!