Baitulmal Kedah terima sumbangan 4 kabin guru KAFA

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan gimik projek kabin guru Kafa daripada Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi (tiga dari kanan) pada malam Sabtu.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan gimik projek kabin guru Kafa daripada Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi (tiga dari kanan) pada malam Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerima sumbangan empat kabin guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) daripada Public Islamic Bank Berhad (PIBB) bagi memberikan keselesaan kepada guru KAFA di empat sekolah di negeri ini.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, Baitulmal Kedah menghargai keprihatinan dan usaha PIBB kepada ummah di atas sumbangan yang diberikan kepada Skim Infak Fisabilillah Unit Tabung Amanah Baitulmal Kedah (TABK).

Menurutnya, MAIK juga turut membuka peluang kepada masyarakat, pertubuhan serta badan korporat untuk sama-sama menyalurkan sumbangan melalui skim berkenaan.

"Secara signifikan kerjasama PIBB dengan Baitulmal telah berjaya melaksanakan projek kabin guru KAFA di dua sekolah di Alor Setar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung dan SK Telok Kechai, SK Pokok Sena di Pokok Sena dan SK Kurong Hitam di Padang Terap.

"Sumbangan ini juga disalurkan untuk Skim Pinjaman Buku Teks Kafa melibatkan 2,200 murid di sekolah rendah seluruh negeri Kedah," katanya pada Majlis Penghargaan Sumbangan PIBB serta Penyerahan Projek Kabin Guru KAFA dan Projek Mini SPBT KAFA Tahun 2024 pada malam Sabtu.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang (duduk, tengah) hadir pada Majlis Penghargaan Sumbangan PIBB Serta Penyerahan Projek Kabin Guru KAFA dan Projek Mini SPBT KAFA Tahun 2024 pada malam Sabtu.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang (duduk, tengah) hadir pada Majlis Penghargaan Sumbangan PIBB Serta Penyerahan Projek Kabin Guru KAFA dan Projek Mini SPBT KAFA Tahun 2024 pada malam Sabtu.

Fadzil yang juga Ahli Jawatankuasa Baitulmal Kedah berkata, skim pinjaman buku teks KAFA yang disumbangkan oleh PIBB juga secara tidak langsung mampu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan.

Tambahnya, Baitulmal Kedah berharap kerjasama berkenaan akan dapat diteruskan lagi bagi melengkapkan kemudahan kabin guru KAFA dan skim pinjaman buku teks KAFA termasuk bantuan lain yang diperlukan pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Baitulmal Kedah juga mengharapkan agar, institusi kewangan dan korporat yang lain akan mencontohi usaha PIBB bagi menjayakan projek-projek untuk pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan di negeri Kedah," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi pula berkata, projek kabin kepada guru KAFA adalah kali pertama disumbangkan kepada Baitumal Kedah.

Menurutnya, sebelum ini mereka menyumbang kepada asnaf dalam memperkasakan ekonomi golongan itu melalui pertanian dan beberapa perkara lain lagi.

"Dalam projek ini, kami menaja kabin dan bagi keperluan seterusnya di sekolah-sekolah lain yang memerlukannya kita akan melihat keperluan dengan kerjasama Baitulmal Kedah.

"Sebagai warga korporat dan institusi perbankan Islam, kita bersedia untuk membantu ekonomi ummat Islam bukan sahaja di negeri Kedah tetapi juga di negeri lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!