Tunggu masa sesuai buat pembenihan awan: Mukhriz

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sedang menunggu maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi menentukan masa yang paling sesuai untuk membuat proses pembenihan awan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembenihan awan yang dijadualkan hari ini mungkin tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Semalam kita nampak sudah ada awan sedikit tetapi hari ini langit membiru semula, jadi kita sentiasa mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi bila masa yang paling sesuai untuk lakukan proses ini kerana kita sangat memerlukan hujan.

"Sudah lebih dua bulan tidak hujan dan rata-rata tempat di negeri ini mengalami masalah bekalan air dan ia memberi kesan buruk kepada jaminan bekalan makanan bukan sahaja padi, perikanan juga terjejas kerana suhu air laut meningkat menyebabkan bekalan ikan tidak cukup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Perhimpunan Pagi Penjawat Awam dan Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Dataran Medan Bandar di sini.

Sementara itu Mukhriz berkata, paras air di empangan utama negeri iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu juga berkurangan kepada tahap 30 peratus, namun pihaknya sentiasa memantau keadaan paras air setiap hari.

"Jumlah air di semua empangan berbeza, ada yang rendah dan ada yang tinggi tetapi kita akan pantau setiap hari. Kita juga terpaksa lepaskan air empangan ke sungai untuk kegunaan domestik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: