Kumpulan JI terap ideologi secara mendalam, sukar 'cuci bersih' fahaman

Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ideologi dan doktrin yang diterapkan Jemaah Islamiyah (JI) secara mendalam dan berterusan kepada ahli-ahlinya sejak sekian lama, menjadi antara faktor yang menyukarkan proses untuk 'mencuci bersih' sepenuhnya fahaman dibawa kumpulan berkenaan.

Penolong Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Dr Ahmad El Muhammady berkata, perkara itu menyebabkan terdapat saki-baki dari aspek fahaman atau ahli kumpulan yang masih wujud sehingga hari ini.

Pakar antikeganasan itu berkata, JI yang disifatkan beliau organisasi pengganas paling sofistikated di rantau ini, mempunyai struktur organisasi yang tersusun dengan pengurusan kewangan, proses merekrut ahli yang sangat canggih dan lebih ke depan berbanding kumpulan pengganas baharu.

"Kalau kita bandingkan dengan kumpulan-kumpulan akhir ini sepert ISIS, Daesh, ia tak boleh sepadan dengan JI, JI kumpulan yang mempunyai disiplin sangat tinggi. Secara organisasinya, kita boleh hapuskan dan menangkap dan sebagainya.

"Tapi amat sukar hapuskan pemikiran mereka, jadi ideologi itu masih lagi wujud, sama ada dalam bentuk penulisan, yang difahami dan dipercayai oleh beberapa bekas ahli kumpulannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini dengan tajuk "Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Bahaya Ideologi Ekstremis" terbitan Bernama TV hari ini.

Sementara itu, Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, insiden yang berlaku di Ulu Tiram, Johor hari ini ialah bukti ideologi JI masih hidup dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan berkenaan.

"Kita boleh memenjarakan seseorang secara fizikal, tapi secara spiritual mentalnya masih lagi bebas dan ia boleh menerima pelbagai ideologi, amat sukar untuk kita hapuskan ideologi ekstrem yang ada pada kelompok dan individu.

"Kita juga harus faham bahawa ideologi esktrem ini tidak lagi dieksport secara besar-besaran, tapi hari ini boleh dieksport secara individu dan sudah ramai menjadi lone-wolf terrorism iaitu mereka yang menjadi ekstrem dan ganas kerana (menerima) indoktrinasi melalui media sosial,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk "Subuh Berdarah di Ulu Tiram" terbitan Bernama TV.

Artikel Berkaitan:

Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin dalam program sama berkata, program pendidikan, pencegahan dan pemantauan di sekolah mengenai isu ekstremis perlu diajar seawal usia kanak-kanak lagi.

"Saya rasa sudah tiba masanya kita tegas dalam isu keganasan, kita tidak boleh lalai, kalau kita lalai kita tidak sedar pemikiran ini akan menular kepada anak-anak muda yang inginkan sesuatu yang ingin mereka perjuangkan, dari segi agama atau kumpulan pengganas,” katanya.

Dalam kejadian serangan yang berlaku pada 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun serta suspek yang berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Suspek lelaki yang ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan serbuan telah dilakukan ke rumah suspek di Ulu Tiram yang membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!