JI mampu lancar serangan di luar jangka - Pakar keselamatan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Aspek keselamatan menyeluruh di seluruh negara khususnya di Lembah Klang, perlu diberi perhatian kerana dikhuatiri wujud siri serangan baharu oleh kelompok ekstremis lain susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

Serangan dipercayai dilakukan oleh ahli Jemaah Islamiyah (JI) itu dibimbangi mencetuskan tindakan luar jangka yang boleh memberi ancaman keselamatan.

Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, kebimbangan tersebut bersandarkan kepada kajian sebelum ini yang menunjukkan bahawa gerakan JI biasanya mempunyai modus operandi yang disusun khusus jika terdapat misi serangan yang gagal.

Menurutnya, kejadian yang menyebabkan suspek ditembak mati itu kemungkinan boleh mengundang reaksi balas daripada ahli JI lain.

“Perkara ini perlukan perhatian khusus sebab JI pernah ada di Kedah, Perlis, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan. Ulu Tiram, Johor memang pusatnya.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kemampuan JI untuk mempunyai anggota di Lembah Klang kerana kalau berlaku serangan di situ, ia boleh mengancam keselamatan dan menjejaskan pelaburan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kejadian di Balai Polis Ulu Tiram itu amat mengejutkan kerana menunjukkan JI masih memberi ancaman yang signifikan walaupun sudah hampir 20 tahun dinaturalisasikan.

Ujarnya, perkembangan itu juga menunjukkan ideologi tersebut masih lagi kekal dan memberi kesan terhadap insiden terbaharu yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Ini sebenarnya adalah pengulangan daripada siri-siri insiden serangan JI pada 2021 dan 2022. Tapi saya rasa serangan kali ini cukup dahsyat kerana berlaku kematian serta lebih bermotif untuk mencuri senjata.

“Ini menunjukkan ancaman oleh JI ini sangat bahaya dan memberikan kesan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, ahli JI bukanlah penjenayah meskipun serangan yang dibuat adalah tindakan terancang.

“Mereka ini adalah anggota berfahaman ekstrem (ekstremis agama) dan tidak mampu merancang sebagaimana penjenayah sebenar.

“Tapi mereka boleh membuat rancangan sampai sanggup membunuh, mengebom walaupun dalam skala kecil seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Namun rancangan itu tak semestinya sempurna dan ada banyak akibatnya, seperti yang berlaku di Ulu Tiram,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!