Komuniti perniagaan perlu teroka pelaburan baharu di Kazakhstan

Anwar menyampai ucap tamapada sesi Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia di Astana pada Jumaat. Turut hadir, Olzhas Bektenov. Foto Bernama
Anwar menyampai ucap tamapada sesi Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia di Astana pada Jumaat. Turut hadir, Olzhas Bektenov. Foto Bernama
A
A
A

ASTANA - Komuniti perniagaan perlu terus meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu di Kazakhstan, negara terbesar di Asia Tengah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia memberikan keutamaan kepada komitmen dalam sektor seperti perlombongan, minyak dan gas, tenaga, pembinaan, pelancongan dan barangan pengguna.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberikan kemudahan dan sokongan kepada komuniti perniagaan untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara.

"Bagaimanapun, komuniti perniagaan perlu berfikiran terbuka dan giat mencari peluang yang berpotensi di sini,” kata beliau dalam ucaptama pada sesi Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia di sini pada Jumaat.

Turut hadir Perdana Menteri Kazakhstan, Olzhas Bektenov.

Selepas perbincangan itu, Anwar dan Bektenov menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU).

MoU pertama ditandatangani antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Kajian Strategik Kazakhstan manakala MoU kedua antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Kebangsaan Kazakhstan (Atameken).

MoU ketiga dimeterai oleh syarikat Malaysia Hyrax Oil Sdn Bhd dan Alegeum Electric Company Group manakala MoU keempat melibatkan Berkat OSH Services Sdn Bhd dan APEC Training Center LLP.

Artikel Berkaitan:

Anwar tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi dua hari ke Kazakhstan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar serta pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.

Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Ia bersempadan dengan Rusia, China, Republik Kyrgyz, Uzbekistan, Turkmenistan dan juga sebahagian besar Laut Kaspia. Eksport utamanya ialah minyak, diikuti gas asli dan komoditi lain. Ia juga merupakan pengeluar utama gandum. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!