Malaysia, Kazakhstan sepakat perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu

Anwar mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Akorda). Foto Bernama
Anwar mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Akorda). Foto Bernama
A
A
A

ASTANA - Malaysia dan Kazakhstan sepakat untuk terus memperkukuhkan hubungan yang terjalin sejak 16 Mac 1992, serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu, dibuat semasa pertemuannya dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) di sini semalam, yang disusuli mesyuarat dua hala delegasi masing-masing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat membincangkan dengan lebih meluas kerjasama kedua-dua negara, yang merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, dan industri halal.

Anwar disambut pada upacara sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan di Istana Presiden (Ak Orda). Foto Bernama
Anwar disambut pada upacara sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan di Istana Presiden (Ak Orda). Foto Bernama

"Saya dan delegasi Malaysia menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden.

"Usai sambutan rasmi, saya dan Presiden Tokayev mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara penting terkait hubungan Malaysia dan Kazakhstan, serta turut menyentuh isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya menerusi akaun X.

Perdana Menteri berkata, beliau dan delegasi Malaysia juga turut diraikan dalam majlis makan malam, selain dibawa melawat kawasan sekitar istana oleh Tokayev.

Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, serta pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.

Artikel Berkaitan:

Anwar menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden. Foto Bernama
Anwar menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden. Foto Bernama

Anwar tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi dua hari ke Kazakhstan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Perdana Menteri Malaysia melawat Kazakhstan iaitu negara Asia Tengah paling besar itu ialah pada 2014.

Terdahulu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev semalam, Anwar dan delegasi melawat Masjid Besar Astana iaitu masjid terbesar di Asia Tengah dan antara yang terbesar di dunia, serta menjadi pusat kegiatan keagamaan yang penting di bandar raya ini.

Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Anwar dan delegasi ketika melawat Masjid Besar Astana iaitu masjid terbesar di Asia Tengah dan antara yang terbesar di dunia. Foto Bernama
Anwar dan delegasi ketika melawat Masjid Besar Astana iaitu masjid terbesar di Asia Tengah dan antara yang terbesar di dunia. Foto Bernama

Hari ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kazakhstan, di sini.

Anwar juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan, berkaitan daripada kedua-dua pihak.

Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (AS$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (AS$102.2 juta) merupakan eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (AS$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.

Anwar diberi taklimat oleh Ketua Mufti, Nauryzbai Taganuly Optenov (tiga, kiri) yang juga Pengerusi Pentadbiran Kerohanian Umat Islam Kazakhstan (MUFTYAT) semasa melawat Masjid Besar Astana. Foto Bernama
Anwar diberi taklimat oleh Ketua Mufti, Nauryzbai Taganuly Optenov (tiga, kiri) yang juga Pengerusi Pentadbiran Kerohanian Umat Islam Kazakhstan (MUFTYAT) semasa melawat Masjid Besar Astana. Foto Bernama

Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan.

Anwar sebelum ini telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz. - Bernama


Presiden Kazakhstan nyata kesediaan tingkat interaksi, kerjasama dengan Malaysia

ISTANBUL - Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev menyatakan kesediaan negaranya untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan Malaysia semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ibu negara Astana pada Khamis.

"Kazakhstan dan Malaysia mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang lama...Kami bersedia untuk melakukan usaha tambahan untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama kami dalam banyak bidang penting," kata Tokayev semasa perbincangan dengan Anwar, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan Presiden Kazakhstan.

Sambil menegaskan bahawa beliau percaya lawatan Anwar akan memberi dorongan kuat kepada perkembangan lanjut hubungan antara Kazakhstan dan Malaysia, Tokayev berkata, asas kukuh kerjasama yang saling menguntungkan telah terbentuk sepanjang 30 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Tokayev seterusnya berkata bahawa beliau percaya ini menjadi semakin penting, "dengan mengambil kira realiti geopolitik dan ekonomi moden."

Beliau berkata, faktor terpenting dalam pembangunan hubungan Kazakhstan-Malaysia adalah hubungan perniagaan, yang mana mereka mengalu-alukan pelaksanaan projek baharu yang berjaya dengan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dan menyampaikan kesediaan kerajaannya untuk menyediakan bantuan yang diperlukan.

Sementara itu, Anwar menekankan bahawa Malaysia amat mementingkan pengukuhan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan Kazakhstan, menyatakan mereka boleh "memanfaatkan sepenuhnya hubungan ekonomi yang semakin berkembang."

"Kami mempunyai cadangan tertentu. Kami merancang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan menteri anda mengenai isu import dan eksport. Kami telah mewujudkan pasaran komoditi yang besar di Malaysia.

"Kini negara kami telah menjadi hab serantau untuk pengeluaran cip komputer, dengan pelaburan yang signifikan dari AS, Eropah, terutamanya Jerman dan China. Saya percaya kami boleh berkongsi pengalaman ini dan pada masa yang sama belajar dari pengalaman anda dalam transformasi yang anda laksanakan dengan agak berjaya," katanya. - Bernama-Agensi Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!