Perbincangan rasmi projek HSR selepas Kabinet lulus - Anthony

Anthony ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil.1/2024 di sebuah hotel, hari ini. Foto Bernama
Anthony ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil.1/2024 di sebuah hotel, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebarang perbincangan rasmi bersama Singapura berhubung cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura hanya akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, buat masa ini kertas kerja berkaitan cadangan itu masih berada di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) dan menunggu waktu yang sesuai untuk dibentangkan kepada Kabinet.

"Memang ada perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura (Chee Hong Tat) dalam pelbagai perkara antaranya HSR tetapi masih tiada yang rasmi lagi.

"Saya telah menjelaskan bahawa cadangan rasmi mengenai HSR hanya akan dibentangkan atau dibincangkan dengan Singapura selepas kita mendapat persetujuan daripada Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini hari ini, ketika diminta mengulas intipati pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Singapura baru-baru ini.

Pada 2 November 2023, media melaporkan kerajaan sedang mengkaji model pelaksanaan baharu bagi meneruskan cadangan pembinaan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Pada 4 Mac lepas, MOT dilaporkan berkata penilaian terhadap tujuh cadangan konsep yang diterima daripada firma atau konsortium yang berminat untuk terlibat dalam projek itu dijangka mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan.

Menurut MOT, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) masih melaksanakan penilaian terhadap cadangan konsep yang telah diterima dan hasil penilaian akan dibawa untuk kelulusan kerajaan bagi menyenaraikan konsortium untuk proses seterusnya iaitu permintaan untuk cadangan (RFP). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!